‘Kita kehilangan mutiara dalam perjuangan’

Oleh ARIF ATAN

Pengarah Strategi AMANAH, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menyifatkan pemergian Ahmad Lutfi Othman ke rahmatullah hari ini sebagai suatu kehilangan besar dalam perjuangan.

Beliau berkata, bekas Ketua Pengarang Harakah itu merupakan tokoh dalam media pembangkang yang konsisten dalam perjuangan sejak dalam Pas lagi.

“Kita kehilangan mutiara dalam perjuangan sejak dalam parti yang lama (Pas). Saya dan juga pimpinan AMANAH serta pemimpin Pas pastinya amat terasa kehilangannya.

“Ahmad Lutfi sekian lama cekal dan tabah mengharungi dugaan. Hari ini beliau pergi buat selama-lamanya,” ujarnya ketika ditemui Malaysia Dateline hari ini di Tanah Perkuburan Ukay Perdana, Selangor.

Dr Dzulkefly bersama anak sulung Allahyarham, Luqman di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana.

Untuk rekod, Ahmad Lutfi Othman, 59, merupakan nama besar dalam penulisan politik tanah air sejak akhir 1980-an dengan lebih 30 judul buku dan lebih 40 akhbar politik tidak berkala diterbitkan.

Beliau dianggap ikon kebebasan media dengan konsisten lantang menentang kezaliman Akta Mesin Cetak dan Penerbitan sekaligus banyak penerbitannya menjadi sasaran tindakan di pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Nama penulis dan editor buku, Revolusi Tanpa Darah itu sinonim dengan akhbar Harakah meskipun beliau beberapa kali keluar dari lidah rasmi Pas itu untuk mengusahakan penerbitan sendiri.

Semasa zaman Reformasi 1998, beliau menebitkan beberapa majalah antaranya Tamadun dan Detik. Beliau kemudiannya menjadi Ketua Pengarang Kumpulan Harakah pada 2006.

Penulis ketika menemubual Ahmad Lutfi pada 2019 di kediamannya di Ampang sempena penerbitan buku, Revolusi Tanpa Darah.

Pada 2019, beliau dinobatkan sebagai Tokoh Aktivis Pena Parti Amanah Negara (AMANAH) sempena Konvensyen AMANAH Wilayah Persekutuan.

Mengulas lanjut, Dr Dzulkefly yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor berkata, Ahmad Lutfi merupakan insan yang mempunyai keistimewaan tersendiri dalam dunia media lantaran sangat prolifik dalam penulisan.

“Kami khususnya dari AMANAH sebenarnya kehilangan seorang sahabat yang sangat besar sumbangannya dalam perjuangan.

“Semoga Allah meletakkan rohnya dalam kalangan hamba-hambanya yang terpilih,” katanya lagi.

Allahyarham Ahmad Lutfi Othman selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, Ampang, Selangor jam 11 pagi tadi.

Beliau menghembuskan nafas terakhir pada jam 2.10 pagi tadi iaitu sehari sebelum umat Islam di negara ini menyambut Aidiladha dan pada hari ulang tahun kelahirannya yang ke-59.

Baca juga Pemergian penulis prolifik Ahmad Lutfi Othman satu kehilangan besar buat negara