Malaysia Dateline

Kita nak tengok Tajudin guna logo Pas PRU-15, kata Puad Zarkashi

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, mahu melihat sama ada Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang digugurkan itu bersetuju untuk bertanding menggunakan logo Pas.

Dalam masa sama, beliau menimbulkan persoalan sama ada Tajuddin yang juga Duta Besar Malaysia ke Indonesia itu boleh menang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) di bawah logo Pas.

“Kita pun nak tengok, kalau Tajuddin setuju terima tawaran Pas bertanding guna logo Pas, apakah dia boleh menang di PRU ke-15. Sudah terang lagi bersuluh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Untuk rekod, Tajuddin yang sebelum ini lantang mengkritik keputusan Umno antara lain berkait tempoh masa PRU-15 telah digugurkan daripada ahli MKT Umno, dengan surat pemakluman itu dikeluarkan Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan pada 21 Jun lalu.

Pas tidak akan kerjasama dengan parti yang bukan pegang dasar Islam, kata Hashim Jasin.
Hashim Jasin

Julai tahun lalu, Tajuddin yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak dipecat sebagai pengarah pilihan raya parti itu.

Pada 24 Jun lalu, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Tajuddin tahu sebab musabab dirinya digugurkan dari jawatan dilantiknya itu.

Menurutnya, kritikan terbuka dan pandangan bercanggah dengan keputusan MKT Umno menjadi antara sebab Tajuddin digugurkan sebagai ahli MKT.

Berhubung pendirian Pas memetik kenyataan Mursyidul Am, Datuk Hashim Jasin yang memberi bayangan parti itu akan menggunakan logo sendiri pada PRU-15, Puad berpendapat Pas baru sekarang sedar logo Perikatan Nasional (PN) tidal laku dan tidak boleh diharap.

“Sebab itu Hashim Jasin Mursyidul Am PAS cadang guna logo sendiri di PRU ke-15.

“Menurut Hashim, imej bulan yang ada pada logo Pas melambangkan bersih umpama malam menjadi terang kerana bulan.

“Betullah tu. Maka bertambah terang untuk rakyat melihat sikap Pas yang tidak konsisten, berdolak dalik dan main selamat,” tempelak Puad lagi.

Hashim pada 24 Jun lalu berkata, penggunaan logo Pas dijangka memberi kelebihan kepada calon parti itu untuk menang kerana logo bulan sudah dikenali sejak 70 tahun lalu.

“Ia berbeza dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka sebelum ini, iaitu apabila kita guna lambang PN, pengundi jadi keliru kerana ingat ia adalah Barisan Nasional (BN).

“Kita serahkan kepada Majlis Presiden PN untuk tentukan penggunaan logo ini nanti,” kata Hashim lagi.

Baca juga Pas patut nasihat Hadi agar jangan makan gaji buta, kata Puad Zarkashi

Baca juga ‘Yang sebenarnya pembaziran utama ialah bayaran gaji menteri’ – Netizen bidas kenyataan Mahdazir