Malaysia Dateline

KKM nafi dakwaan kanak-kanak dijangkiti cacar monyet, tiada sebarang laporan diterima

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menafikan dakwaan cacar monyet kini sudah memasuki Malaysia seperti yang tular di media sosial sejak semalam.

Menerusi kemaskini terbaru di Facebook KKM, kementerian itu memaklumkan bahawa sehingga jam 5 petang semalam (24 Mei), kerajaan tidak menerima sebarang notifikasi berkenaan kes kanak-kanak dijangkiti cacar monyet.

Sejak semalam, tular satu tangkap layar ‘story WhatsApp’ yang mendakwa seorang kanak-kanak dijangkiti virus cacar monyet namun kerajaan Malaysia didakwa cuba menyembunyikan hal berkenaan.

“Dia anak buah kawan mak saya. Dia kena monkeypoxMonkeypox dah masuk Malaysia. Jadi hati-hati bawa anak-anak keluar. Tolong balik rumah terus mandi. Jaga diri anda dan anak-anak. Tak habis dengan HFMD (penyakit kaki, tangan dan mulut). Sekarang monkeypox pula.

“Lepas tu berita tak keluarkan pun. Dasar Malaysia betul. Nanti kes dah beratus baru nak masuk berita,” tulis individu itu menerusi status WhatsApp.

Susulan itu, KKM tampil menafikan perkara berkenaan dan meminta pihak waris kepada kanak-kanak tersebut segera membawanya ke pusat kesihatan terdekat untuk rawatan sekiranya gambar tersebut adalah benar.

“Sehingga 24 Mei 2022 jam 5.00 petang, Kementerian Kesihatan Malaysia tidak menerima sebarang notifikasi berkenaan kes yang dijangkiti virus monkeypox atau kes kanak-kanak yang dikatakan dijangkiti virus monkeypox seperti dalam mesej beserta gambar yang ditularkan dalam media sosial.

“Sekiranya gambar tersebut adalah benar, waris kepada kanak-kanak tersebut dinasihati untuk membawanya ke fasiliti kesihatan kerajaan berdekatan dengan segera untuk menjalani pemeriksaan dan mendapatkan rawatan.

“Orang ramai dinasihati supaya tidak menularkan berita yang tidak diketahui kesahihannya, sebaliknya menasihati pesakit atau waris untuk mendapatkan nasihat perubatan terlebih dahulu jika berkaitan penyakit atau lain-lain masalah kesihatan,” jelas KKM.

Baca juga: SPRM perlu dedahkan kementerian mana lakukan rasuah dalam pembelian perubatan sepanjang pandemik

Baca juga: Pembantu kedai didenda RM2,500 sebab buang patung hiasan