Malaysia Dateline

SPRM perlu dedahkan kementerian mana lakukan rasuah dalam pembelian perubatan sepanjang pandemik

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu mendedahkan kepada orang ramai maklumat kementerian dan jabatan kerajaan mana yang terlibat melakukan rasuah dalam kes pembelian perubatan untuk Covid-19 ketika pandemik itu melanda negara.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, Ketua SPRM Tan Sri Azam Baki perlu telus dalam kes ini dan memaklumkan kepada rakyat sama ada kes terbabit melibatkan peringkat menteri atau timbalan menteri.

Selain itu, nilai rasuah yang diselewengkan juga perlu dimaklumkan kerana menurutnya, orang ramai berhak mengetahui lebih lanjut berkenaan kes-kes rasuah tersebut tanpa menjejaskan proses siasatan SPRM.

“Seluruh rakyat Malaysia seharusnya berasa amat kecewa dan marah dengan pendedahan kes rasuah ini dalam perbelanjaan kerajaan melawan Covid-19.

“Rakyat Malaysia tidak boleh mengambil sikap tidak endah kepada masalah rasuah yang begitu teruk dan mesti tegas menuntut tindakan tegas diambil terhadap perasuah-perasuah yang tidak berperikemanusiaan ini.

“Sekiranya identiti seorang Hakim Mahkamah Tinggi yang sedang disiasat oleh SPRM boleh didedahkan secara terbuka, saya yakin SPRM boleh mengambil tindakan yang sama dalam kes rasuah yang melibatkan kepentingan orang ramai seperti ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada semalam, Azam mendedahkan terdapat individu tidak bertanggungjawab telah mengambil kesempatan membuat wang haram daripada kesakitan dan kemalangan orang ramai ketika pandemik Covid-19.

Beliau berkata, suruhanjaya antirasuah itu telah membuka beberapa siasatan terhadap perolehan perkhidmatan perubatan; penyalahgunaan kuasa dalam mengalihkan bantuan bantuan dan pakej rangsangan.

Selain itu, siasatan turut membabitkan penipuan yang berkaitan dengan peralatan perlindungan perubatan yang dipalsukan seperti pelitup muka, sarung tangan dan lain-lain iaitu dari segi kuantiti dan kualiti peralatan perubatan yang lebih rendah serta rasuah pegawai penguat kuasa dalam barisan penguatkuasaan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sementara itu, Anthony Loke menyeru agar Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) memanggil Ketua Pesuruhjaya SPRM untuk tampil memberi keterangan dan maklumat kepada PAC yang bertanggungjawab untuk memastikan setiap perbelanjaan kerajaan diurus dengan baik dan sempurna.

Baca juga: 50 bekas ahli Bersatu dan Umno sertai AMANAH kawasan Baling

Baca juga: Kes diselesai cara baik, Asyraf Wajdi setuju tarik balik tuduhan terhadap Mujahid

Baca juga: Pelajar UUM mati dalam bilik asrama, dipercayai terkena kejutan eletrik