Malaysia Dateline

Komersialisme filem Mat Kilau aspirasi ‘filem kita wajah kita’ dalam sentimen kemelayuan

Mat Kilau, menjadi subjek penzahiran sebuah filem yang kini dikatakan “pecah panggung” dengan kutipan mencecah hampir RM51.8 juta dalam tempoh 13 hari tayangan di pawagam. Mencetuskan aura “kegilaan” dalam kalangan peminat filem Melayu (kemutlakan filem Melayu atau filem Malaysia?).

Dikatakan kini kutipannya terus meningkat, selepas 33 hari tayangan jumlah kutipan bertambah kepada RM90 juta, diramalkan kutipannya boleh mencecah RM100 juta, mengambil kira baki-baki tayangan yang bersisa di pawagam.

Satu ketika dahulu, Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia (FINAS) telah memperkenalkan slogan, “Filem kita wajah kita.” Soalnya, “wajah kita” itu dirujuk kepada wajah siapa? Apakah dirujuk dan dihubungkan dengan realiti wajah masyarakat Malaysia?

Tegasnya, “wajah kita” itu adakah merujuk kepada filem yang diwatakan dengan pelbagai wajah bangsa dan citra kehidupan yang dicorak jalinkan ceritanya berteraskan sosio budaya, pemikiran dan tema yang diangkat daripada realiti kehidupan masyarakat Malaysia?

Garapan “wajah kita” mungkin tafsiran signifikan telah dilakukan oleh P. Ramlee, umpamanya melalui filem Gerimis (1968), melalui percintaan antara Kamal dan Leela.

Sesudah Subuh (1967), Ariffin Mahmud diceriakan hidupnya oleh Alice Lim dan Allan Hoon, munculnya watak-watak Chandra, Krishna Murthi serta Dr. Gill menambahkan lagi realiti sosio budaya Malaysia yang cuba ditonjolkan oleh P. Ramlee.

Bahkan sesudah Subuh juga disulami dengan bahasa Melayu, Cina, Inggeris dan Tamil. Soalnya, adakah garapan P. Ramlee dalam Sesudah Subuh ini sebagai cerminan awal, “filem kita wajah kita?” Atau hanya merupakan satu imaginasi seni oleh P.Ramlee?

Begitu juga melalui Sarjan Hassan (1958), kemunculan watak Ah Leng yang hidup dalam komuniti Melayu, membina hubungan dengan Minah, mencerminkan jujurnya masyarakat menerima kehadiran seorang Cina dalam realiti kehidupan sosial masyarakat Melayu. Apa lagi Ah Leng telah berjaya menceriakan Salmah dengan surat yang dititipkan oleh “Gorila.”

Demikian juga keadaannya Mr. Singh dalam Seniman Bujang Lapok (1961), wataknya telah memberikan impak terhadap nilai kemanusiaan manusia, khususnya dalam konteks budi dan bahasa.

“Bukan bahasa… Lu punya nasib lu makan, dia punya nasib dia makan apa salah lu makan sama-sama…”

Diajarnya Sudin, Ajis dan Ramlee untuk melihat manusia sebagai manusia, bukannya, ” hoi… hoi…”

Komersialisme Mat Kilau aspirasi 'filem kita wajah kita' dalam sentimen kemelayuan
Ramli, Sudin dan Ajis dalam Seniman Bujang Lapok

Gambarannya, watak-watak bukan Melayu dalam filem-filem P. Ramlee ini, merupakan watak-watak yang bersosialisasi dalam komuniti dan membawa inspirasi kehidupan bangsa berimejkan kesatuan komuniti dengan aspirasi nasional.

Persoalannya, apakah aspirasi “filem kita wajah kita” sebenarnya telah mula dirintis dan ditafsirkan oleh P. Ramlee, lewat antaranya, melalui filem-filem yang dinyatakan sebagai contoh di atas.

Atau, hanya satu percubaan untuk memenuhi citra gambaran realiti masyarakat Malaysia diawal pembentukannya sebagai negara bangsa?

Mat Kilau (2022), juga menampilkan beberapa watak bukan Melayu yang menjadi tunjang kepada aliran ceritanya. Kewujudan Syers, Toga dan Goh Hui serta kumpulan “darah keturunan” Singh, sememang hakikatnya menggambarkan realiti bangsa yang menjadi latar kepada pembentukan masyarakat Malaysia.

Berkaitan dengan itu, apakah Mat Kilau sebenarnya lebih tepat akan gambarannya berkaitan dengan konsep “filem kita wajah kita?” serta lebih tepat tafsirannya berbanding dengan tafsiran P. Ramlee?

Namun kewujudan watak-watak bukan Melayu dalam Mat Kilau berdasarkan tafsiran penulis skrip dan pengarahnya adalah bersifat petualang dan pengacau kepada sistem sosial Melayu, bahkan bacul.

Selain itu digambarkan rendahnya budi bahasa, dan lebih tragis juga digambarkan sebagai pembunuh upahan. Watak-watak ini tidak bersosialisasi dalam masyarakat Melayu, sebagai penambah nilai dan peneguh sosio budaya dalam konteks realiti pembinaan sistem sosial masyarakat.

Apakah Mat Kilau itu lebih jelas akan pengisiannya, dalam memberikan konsepsi “filem kita wajah kita?”

Atau hanya satu garapan inisiatif komersial dengan melambung tinggi sentimen Melayu dan sensitiviti kemelayuan yang kononnya dimetoskan sebagai bangsa pejuang atas dasar mempertahankan kedaulatan bangsa daripada penguasaan penjajah?

Apa pun situasinya, filem Mat Kilau lebih menjurus kepada penonjolan aksi-aksi tempur yang mirip kepada seni silat Melayu.

Berlatar belakang nama “Mat Kilau” diangkat daripada kononnya sejarah perjuangan Mat Kilau. Namun, hakikatnya adalah satu tafsiran dan adaptasi yang dilakukan oleh penulis skrip dan pengarahnya sebagai satu metos imaginasi.

Untuk dirumuskan sebagai satu realiti fakta sejarah secara mutlak adalah sesuatu yang janggal sifatnya, maka Mat Kilau hanyalah merupakan cerita rekaan dengan memasarkan nama Mat Kilau sebagai unsur komersial untuk pertaruhan keuntungan.

Berdasarkan ulasan para pengkaji sejarah Malaysia, dikatakan hanya 10% sahaja fakta yang digarap dalam Mat Kilau, boleh dikategorikan sebagai menepati fakta sejarah.

Menepati pengakuan yang tertera di layar pada awal cerita Mat Kilau ini bermula, bahawa “sebagai cerita rekaan dan fiksyen semata-mata,” Jelas filem Mat Kilau tidak perakui sebagai “filem biografi” Mat Kilau dan apa lagi untuk diakui sebagai rentetan sejarah Pahang 1888/1889.

Apa yang jelas, nama Mat Kilau telah berjaya dijadikan subjek impak komersial melariskan filem ini, apatah lagi diadunkan dengan kononnya seni silat Melayu warisan jejak Mat Kilau.

Realitinya sukar untuk dinafikan akan keupayaannya menggegarkan semangat kependekaran Melayu. Menjadi tarikan kepada sentimen jiwa Melayu, berkobar-kobar memasang metos sebuah keagungan imaginasi.

Asasnya, filem Mat Kilau ini lebih terdorong untuk membangkitkan tiga unsur sentimen utama atas nama Melayu; kepertuanan Melayu, pelantunan Islam sebagai sentimen politik dan pengkhianatan terhadap Melayu oleh orang asing.

Tiga unsur ini dijadikan “pembakar” untuk menghidupkan kononnya jati diri Melayu dalam jiwa Melayu di alam moden.

Apa yang pasti, Mat Kilau lebih kepada usaha untuk membangkitkan kesedaran terhadap pencarian “wira” dalam kalangan orang Melayu, sebagaimana usaha mengenengahkan wira dalam filem Bukit Kepong.

Dengan lain perkataan, realitinya dalam segala aspek kehidupan orang Melayu, hakikatnya sedang dalam krisis untuk mencari “wira” yang dapat diklasifikasikan sebagai pejuang bangsa.

Maka Mat Kilau ditonjolkan sebagai sebahagian wira itu, meski pun, kebangkitan Mat Kilau dan perjuangan Mat Kilau itu lebih bercorak setempat dengan permasalahan setempat.

Perjuangan Mat Kilau, tidak pun memberi impak untuk mencetuskan kebangkitan secara menyeluruh, sehingga boleh mendorong kepada ancaman terbuka terhadap penguasaan Inggeris di Pahang.

Bahkan kebangkitan Mat Kilau tidak pun menjejaskan kedudukan J. P Rodger sebagai Residen Inggeris.

Memandangkan pengarah dan penulis skripnya berkemungkinan berbangsa Melayu, maka tafsiran Mat Kilau tersebut dibawa untuk menyudut kepada kehendak dan pemikiran Melayu dengan dilatarkan kepada tiga unsur permainan sentimen yang dinyatakan di atas.

Sebaliknya, Mat Kilau seandainya ditulis oleh Syers dan diarahkan oleh Goh Hui makanya Mat Kilau tentunya melalui penceritaan berbeza, dan Mat Kilau bukan lagi merupakan hero atau wira yang menjadi keramat kepada orang Melayu.

Mat Kilau ditangan pengarahnya boleh dibentuk berdasarkan kehendak dan propagada yang ingin ditonjolkan serta motif yang mahu disampaikan.

Harus diingat, Mat Kilau menjadi buruan, bukan sahaja Inggeris, tetapi juga pihak istana. Realitinya dalam sistem fuedal, “penentangan” Mat Kilau bukan sahaja ditujukan kepada Inggeris, sebaliknya juga terhadap istana.

Baca juga: Filem penuh Mat Kilau dirompak, ditayang secara haram di Telegram