Kontroversi “kerajaan zina”: PN terbukti amal budaya politik fitnah

Oleh ARIF ATAN

Kenyataan Dr Afif Bahardin yang disiarkan portal MalaysiaKini yang menuduh Pakatan Harapan (PH) hipokrit susulan kenyataan Fahmi Fadzil yang menggesa pihak polis menyiasat kenyataan Azman Nasrudin yang menuduh kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri (PM) ke-10 Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai “kerajaan zina” menunjukkan Perikatan Nasional (PN) mengamalkan budaya politik fitnah.

PN dianggotai Pas dan Bersatu kini sedang giat membawa budaya politik fitnah di mana pimpinan utama PN juga terlibat termasuk Presiden Pas Tan Sri Hadi Awang memfitnah PM kononnya ejen Israel dan PH membawa agenda komunis manakala Tan Sri Muhyiddin Yassin menuduh PH membawa agenda Kristian.

Oleh sebab itu, apa yang difitnah Azman bukan suatu yang pelik kerana kepala partinya juga begitu, ibarat ketam mengajar anaknya berjalan betul.

Dakwaan Afif kononnya PH hipokrit kerana meminta pihak polis mengambil tindakan juga menunjukkan beliau tidak faham batas kebebasan bersuara yang dibenarkan undang-undang.

Hak dan kebebasan rakyat negara ini dipandu oleh Perlembagaan Persekutuan. Perkara 10 (2) (a) menyatakan kebebasan bersuara bergantung kepada undang-undang.

Pelbagai undang-undang statut digubal yang mengawal kebebasan bersuara ini demi menjaga keharmonian negara termasuk undang-undang fitnah di bawah Kanun Jenayah, hasutan di bawah Akta Hasutan, perkataan yang tidak menjelikkan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia dan ketenteraman awam dan hubungan agama di bawah Kanun Jenayah.

Afif Bahardin

Walaupun diberikan kebebasan untuk bersuara, tetapi pandangan kita hendaklah tidak terkeluar daripada perimeter undang-undang iaitu perlu berasaskan fakta yang betul supaya bertepatan dengan doktrin justifikasi atau komen yang adil dan berpatutan.

Namun, sekiranya pandangan itu tidak berasaskan kepada fakta yang betul, ianya satu fitnah dan sudah pasti tertakluk kepada implikasi undang-undang.

Menggunakan perkataan zina seolah-olah menuduh kerajaan perpaduan ini sebuah kerajaan haram.

Walhal, pelantikan Anwar Ibrahim adalah mengikut Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan di mana Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong percaya dengan sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat kepada Anwar Ibrahim. Jadi, di mana haramnya kerajaan perpaduan ini?

Begitu juga, fitnah berkaitan ejen Israel, agenda komunis dan Kristian, apakah asas fakta betul yang disandarkan?

Sehingga sekarang tidak ditunjukkan apakah asas fakta tersebut dan sebab itu, ianya fitnah dan patut disiasat.

Selain itu, kenyataan Afif bahawa tiada tindakan oleh kerajaan PN berhubung kebebasan bersuara ini juga tidak benar.

Ketika Muhyiddin menjadi PM, ramai anak muda yang disiasat kerana berhimpun membantah Langkah Sheraton.

Fahmi Reza juga disiasat polis dan Ismat Baharin dituduh di mahkamah kerana membuat hantaran Facebook yang mengandungi perkataan menjelikkan terhadap Zuraida Kamaruddin bekas Menteri di bawah kerajaan PN dahulu.

PH tetap konsisten dengan agenda perjuangan untuk mengangkat kebebasan bersuara, tetapi sesuatu pandangan itu mestilah berasaskan fakta yang betul supaya keharmonian dapat dipelihara.

Jika tiada asas fakta yang betul, Fahmi Fadzil berhak meminta satu siasatan polis diadakan dan terserah kepada pihak polis untuk mengambil tindakan mengikut undang-undang secara adil dan bebas.

PH tidak mencampuri kuasa siasatan tersebut kerana PH sentiasa menjunjung prinsip keluhuran undang-undang.

Justeru, PN perlu berhenti mengamalkan budaya politik fitnah dan memberikan fokus sebagai pembangkang yang konstruktif.

Hentikan sebarang pandangan dan kenyataan berbaur fitnah dan provokasi yang boleh mencetuskan salah faham dan ketegangan dalam kalangan rakyat.

Kita semua bertanggungjawab membina Malaysia yang stabil dan harmoni.

Baca juga ‘Tudung RM10 dah cukup lindungi auratku’ – Ini bukti wujudnya jurang pendapatan langit dan bumi

Baca juga Gara-gara ubah suai Toyota ke Ferrari, lelaki berdepan dakwaan memalsu dan melanggar cap dagangan