Kontroversi klip video raya aksi geletis: Aliff Syukri beri keterangan SKMM

Oleh ARIF ATAN

Selepas klip video raya aksi geletis nyanyian Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman mengundang kecaman orang ramai, usahawan kosmetik itu tiba di ibu pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) jam 9.58 pagi.

Pengasas produk D’Herbs berusia 35 tahun itu dilapor ditemani dua lelaki.

“Maaf, saya kena masuk ke dalam untuk beri keterangan,” katanya ringkas kepada pemberita, lapor Utusan Malaysia.

Semalam, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa memaklumkan bahawa SKMM akan memanggil individu yang terlibat dengan klip video muzik yang dianggap tidak senonoh oleh orang ramai itu.

Menurutnya, SKMM telah membuka satu kertas siasatan untuk menyiasat perkara membabitkan klip video berdurasi di bawah seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Untuk rekod, klip video lagu ‘Kelepok Raya’ itu masih lagi menduduki tangga teratas sohor kini di YouTube dengan lebih sejuta tontonan selepas dikongsikan Rusa Music sejak enam hari lalu.

Klip lagu berdurasi 5 minit 23 saat itu mengundang kecaman orang ramai apabila kumpulan penari lelaki bersongkok memakai singlet, mengenakan skirt dengan kesemuanya sarat berantai leher.

Dalam satu babak lain pula, Aliff dilihat berbaring di tengah kumpulan lapan lelaki yang ‘bergelimpangan’ dan saling menindih antara satu sama lain dengan ada antara mereka selamba meraba tubuh dan kaki rakan di sebelah.

Baca ‘Buat apa beri teguran, teruslah ambil tindakan’, Menteri Agama dikritik isu klip video raya melampau

Baca Wanita tertua di dunia meninggal pada usia 119 tahun