Malaysia Dateline

Konvensyen BN jadi medan sembang kencang kluster mahkamah asak bubar Parlimen

Konvensyen BN yang diadakan semalam tidak lain tujuannya ialah semata-mata untuk meningkatkan lagi tekanan kepada Perdana Menteri agar segera membubarkan Parlimen.

Maksud dan tujuan itu bukan saja mudah difahami melalui intipati ucapan Zahid Hamidi, Najib Razak dan Mohamad Hasan, malah juga kerana konvensyen tersebut diadakan pada hari Rabu iaitu hari bekerja.

Kenapa program parti tidak diadakan pada Sabtu, Ahad dan hujung minggu yang ada cuti? Lebih daripada itu, kali terakhir BN mengadakan konvensyen seperti ini ialah 12 tahun lalu.

Sebelum PRU14 tidak diadakan konvensyen, mengapa untuk PRU15 ini begitu penting BN berkonvensyen?

Dengan sebelum ini tekanan kepada Ismail Sabri hanya dilakukan melalui pentas Umno termasuk meminda perlembagaan parti, Zahid Hamidi, Najib dan Tok Mat melalui konvensyen ini cuba membawa parti komponen BN yang lain untuk bersikap senada dengan kehendak mereka.

Ketiga-ketiga pemimpin Umno itu juga dalam ucapannya saling mengatakan bahawa sekarang adalah masa yang paling sesuai untuk diadakan PRU15.

Najib malah mengimbas kesilapannya menangguhkan PRU14 lalu sehingga akhirnya menyebabkan BN buat pertama kali tumbang serta hilang kekuasaan.

Menurut Najib lagi, Parlimen ketika itu sepatutnya dibubarkan pada 2017 selepas Sukan SEA, tetapi kerana beliau menangguhkannya sehingga Mei 2018, maka itulah yang menyumbang kepada kekalahan itu.

Dengan mengingatkan Ismail Sabri agar mengambil iktibar daripada kesilapannya, Najib menekankan tiada pilihan lain selain PRU15 mesti diadakan dalam waktu terdekat ini jika BN betul-betul inginkan kemenangan.

Faktor masa dalam membubarkan Parlimen ketika itu hanyalah asbab kecil yang menyebabkan kekalahan BN, tetapi sebab utama dan terbesar sekali ialah berikutan timbunan kebencian yang kian meninggi terhadap kepimpinan Najib sendiri, terutama kerana skandal 1MDB, kemewahan keluarganya serta karenah demi karenah yang ditunjukkan oleh isterinya, Rosmah Mansor.

Najib anggap sekarang adalah masa yang paling sesuai untuk diadakan PRU15.

PRU14 , sama ada diadakan pada 2017 atau 2018, kemungkinan BN kalah dan hilang kuasa tetap ada.
Tetapi, jika tiada skandal 1MDB, tiada kemewahan di sana-sini dan Rosmah pula berwatak seperti isteri-isteri Perdana Menteri sebelumnya, khususnya isteri Tun Razak, isteri Tun Hussein dan isteri Tun Mahathir, kemungkinan BN kalah tidak mungkin wujud sama sekali.

Tambahan lagi, kesombongan dengan kuasa waktu itu begitu ketara sekali di mana isu 1MDB tidak dibenar diperkatakan di Parlimen dan semua perkara cuba ditutup dengan keangkuhan, selain mereka yang mengkritik akan dipecat atau ditangkap.

Dalam hal ini, tindakan Najib memainkan isu masa dalam konteks pembubaran Parlimen tidak lebih hanya bertujuan mengaburi mata orang ramai dan menutup kesilapan serta kesalahan masa lalunya.

Hakikatnya, kekalahan BN pada 2018 itu lebih banyak, kalau pun tidak semua, adalah disebabkan isu-isu yang melingkari batang tubuh Najib sendiri.

Rakyat pada ketika itu mahu menumbangkan Najib bukan setakat mahu menanggalkan kuasa dalam tangannya, bahkan sampai ke tahap ingin melihatnya masuk penjara.

Ini berbeza dengan Ismail Sabri yang tiada sama sekali dibebankan dengan isu-isu seperti Najib itu.
Dengan itu, menangguhkan lagi tarikh PRU15 mungkin membuatkan Ismail Sabri mampu meraih sokongan lebih baik daripada rakyat, terutama jika isu kos sara hidup, inflasi dan kenaikan harga barang dapat ditangani dengan baik.

Sebaliknya, mempercepatkan tarikh PRU15 dalam keadaan rakyat sedar bahawa kluster mahkamah masih memegang papan catur dalam UMNO dan BN yang ia difahami lebih bersifat untuk menyelamatkan nasib diri mereka sendiri berbanding keuntungan dari segi kesejahteraan kepada rakyat, ia mungkin menyebabkan hukuman seperti 2018 berulang kembali.

Sebab itu, adalah penting untuk Ismail Sabri kekal sabar, tenang dan jangan mudah terpedaya dengan mereka yang ada agenda peribadi di sebalik terus menerus mendesak mahu Parlimen dibubarkan dan PRU15 disegerakan.

Sebagai Perdana Menteri, banyak penilaian, data, maklumat dan angka yang lebih rasmi harus beliau ambil kira untuk menentukan waktu yang sesuai bagi membubarkan Parlimen agar kemenangan yang ingin dicapai benar-benar tidak tersasar.

Penilaian dan sembang kencang tentang kemenangan daripada orang yang hari-hari turun naik mahkamah – senang cakap – lebih banyak tak boleh pakai daripada berguna untuk seorang Perdana Menteri yang keutamaannya adalah kesejahteraan rakyat dan masa depan negara.

Baca juga Kluster mahkamah, penderhaka Agong uji wibawa Ismail Sabri

Baca juga Polis cari individu yang terlibat dalam kes penari separuh bogel