Konvoi bersama 12 rakan remaja maut langgar belakang pacuan empat roda sebelum digilis kereta

Oleh NASUHA RAHMAN

Menyertai konvoi bersama 12 rakannya seorang remaja maut melanggar belakang pacuan empat roda jenis pajero sebelum digilis kereta.

Remaja Muhammad Nasrul Adnan, 18, meninggal dunia merta di tempat kejadian ketika berkonvoi di Melaka tengah malam tadi akibat cedera para di kepala dan badan.

Kemalangan berlaku di Kilometer 202.9 Lebuhraya Utara Selatan (arah Utara) kira-kira jam 12.40 tengah malam.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, ketika kejadian, mangsa menunggang motosikal Yamaha Y15 sedang dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur selepas konvoi bersama 12 rakan di Melaka.

“Motosikal mangsa melanggar belakang pacuan empat roda yang berada di lorong kiri dan menyebabkan dia terjatuh sebelum dilanggar Perodua Bezza dipandu lelaki 29 tahun dari belakang.

“Pemandu kereta yang juga pekerja kilang itu dalam perjalanan dari Jasin menuju Alor Gajah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Arshad berkata, mangsa berasal dari Kampung Kemensah, Ulu Kelang, Selangor parah di kepala dan badan, dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk dibedah siasat.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Baca juga: Sabri Yunus imbau kenangan bagaimana Allahyarham Bob Lokman mula-mula terjebak di pentas lawak