Kos gandum mahal, restoran mamak dijangka naikkan harga roti canai?

Oleh KIM SYAZIE

Desas desus bertiup mengatakan restoran mamak mungkin bakal menaikkan harga makanan utama mereka susulan peningkatan harga kos gandum ketika ini.

Memetik laporan media, Presiden Persatuan Pemilik Restoran India Muslim Malaysia (PRESMA) memaklumkan bahawa peningkatan kos gandum telah berlaku sebelum India menghentikan pengeksportan gandum mereka.

Menerusi laporan FMT, Presiden PRESMA, Jawahar Ali Taib Khan bagaimanapun menegaskan bahawa mereka sedang sedaya upaya mengelak daripada meningkatkan harga jualan.

“Sebelum ini satu guni gandum seberat 25 kilogram dijual dengan harga RM45. Tapi, harganya kini mencecah RM65,” katanya. 

Tambah Jawahar lagi, beliau bimbang dengan kenaikan harga ini mungkin akan menyebabkan ada pihak mengambil kesempatan membeli secara pukal sebelum menaikkan lagi harganya.

Setakat ini, harga roti canai dilaporkan dijual sekitar RM1.20 ke RM1.70, namun tidak dinafikan ada yang sudah menjual dengan harga yang lebih mahal.

“Walaupun ada beberapa restoran telah menaikkan harga mereka baru-baru ini, ada kemungkinan kenaikan berlaku kenaikan harga lagi,” kata Presiden Persatuan Pemilik Restoran India Malaysia (Primas), J Suresh.

Kerajaan Malaysia sebelum ini memaklumkan Malaysia mengimport sekitar 80% gandum dari Australia sekaligus membuatkan pengharaman gandum dari India tidak memberi kesan yang besar.

Baca juga: Semak semula subsidi kepada penternak agar selari dengan kenaikan kos dedak terlalu tinggi

Baca juga: 10 Perkara tentang lelaki setiap wanita WAJIB tahu