Malaysia Dateline

Semak semula subsidi kepada penternak agar selari dengan kenaikan kos dedak terlalu tinggi

DAP mendesak agar kerajaan bertindak segera bagi memastikan bekalan ayam di pasaran mencukupi dengan menyelesaikan masalah tekanan kos dalam kalangan penternak.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, dasar menetapkan harga siling untuk ayam sebagai barang kawalan perlu diteruskan memandangkan masalah kos sara hidup semakin tinggi merupakan tekanan hidup yang paling besar untuk kebanyakan rakyat Malaysia.

Anthony Loke

Namun pada masa yang sama katanya, kerajaan juga perlu memastikan penternak dan seluruh rantaian bekalan ayam tidak mengalami kerugian.

Ini boleh dilakukan dengan melaksanakan bantuan subsidi yang mencukupi untuk menampung kenaikan kos yang luar biasa.

“Walaupun Kementerian Pertanian dan Industri Makanan telah menyediakan peruntukan RM528.52 juta untuk pemberian subsidi RM0.60 sen sekilogram, kadar ini perlu disemak semula selari dengan tekanan kos dedak yang terlalu tinggi.

“Bantuan subsidi juga perlu dilaksanakan tanpa karenah birokrasi dan disalurkan kepada penternak dengan segera.

“Keputusan kerajaan untuk membatalkan syarat AP untuk mengimpot bahan makanan bukan merupakan formula ‘silver bullet’ yang akan menyelesaikan masalah kenaikan harga barang makanan dan memastikan bekalan tidak terputus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa sama Anthony menegaskan, kerajaan Persekutuan seharusnya bertindak segera dengan melibatkan semua kerajaan negeri untuk menyediakan tapak tanah secara besar-besaran dengan secepat mungkin untuk tujuan penanaman bijirin untuk mengurangkan kebergantungan kepada import.

Baca juga: “Setiap gandum berharga”- Dunia akan hadapi krisis kelaparan yang tak pernah berlaku

Baca juga: Lewat hantar barang, J&T Express mohon maaf