Malaysia Dateline

Kos pembinaan projek ECRL 3.0 berjaya jimat RM11.01 bilion hasil rundingan semula kontrak

Kementerian Pengangkutan berjaya membuat rundingan semula kos pembinaan bagi Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang menghubungkan negeri-negeri di Pantai Timur sepanjang 665 kilometer.

Melalui rundingan yang dicapai, RM11.01 bilion telah berjaya dijimatkan hasil dari beberapa siri rundingan semula kontrak ECRL yang telah dimuktamadkan pada 2019 dan 2022.

Kementerian Pengangkutan berkata, beberapa faktor termasuk pelaksanaan Kejuruteraan Nilai (VM) yang menyeluruh dan penjajaran semula landasan ECRL pada Seksyen C (Temerloh- Serendah-Pelabuhan Klang) telah menyumbang kepada pengurangan kos pembinaan keseluruhan.

“Untuk makluman, Kos Pembangunan Keseluruhan (TDC) untuk ECRL 1.0 adalah berjumlah RM85.97 bilion merangkumi kos pembinaan sebanyak RM66.78 bilion dan kos pembangunan lain seperti Faedah Semasa Pembinaan pengambilan tanah, pemindahan utiliti dan yuran sambungan dan perbelanjaan mengurus berjumlah RM19.19 bilion.

“Sebagai perbandingan, Kos Pembangunan Keseluruhan untuk ECRL 3.0 yang sedang dalam pembinaan kini dianggarkan berjumlah RM74.96 bilion, terdiri daripada kos pembinaan yang jauh lebih rendah iaitu sebanyak RM50.27 bilion.

“Manakala, kos pembangunan lain seperti Faedah Semasa Pembinaan, pengambilan tanah, pemindahan utiliti serta yuran sambungan dan perbelanjaan mengurus adalah berjumlah RM24.69 bilion,” demikian menurut kementerian tersebut hari ini.

Justeru, perbezaan TDC antara ECRL 1.0 dan ECRL 3.0 menghasilkan penjimatan sebanyak RM11.01 bilion.

Kementerian Pengangkutan menambah, melalui kos pembinaan sebanyak RM50.27 bilion, rakyat Malaysia kini dapat menikmati projek ECRL yang telah ditingkatkan nilainya bagi perkhidmatan penumpang dan kargo.

Baca juga: ‘Baru perasan Exco pembangunan wanita di Terengganu dipegang seorang lelaki’