Malaysia Dateline

Krisis air: Penduduk Kuala Nerus boleh saman pihak terlibat

Pemuda AMANAH Terengganu menegaskan penduduk Kuala Nerus dan Kuala Terengganu yang mengalami masalah gangguan air mempunyai hak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak berkaitan yang telah menjejaskan kehidupan mereka.

Ketuanya, Zamir Ghazali berkata, hak memfailkan saman tersebut diperuntukkan mengikut Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) dan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

“Dalam kes gangguan air di Kuala Nerus, punca gangguan adalah kerana aktiviti mengorek pasir secara tidak terkawal. Pemantauan sepatutnya oleh kerajaan negeri melalui pihak berkuasa tempatan.

“Malangnya, walaupun satu surat dari Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Terengganu kepada Unit Perancang Ekonomi Negeri – UPEN, Terengganu pada 22 Oktober 2020 memaklumkan aktiviti pengambilan pasir telah dibuat di Kampung Pulau Sekati sehingga mengakibatkan hakisan sungai.

“Namun, pihak berkuasa tempatan dilihat tidak mengambil sebarang tindakan untuk menghentikan aktiviti terbabit,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Zamir berpendapat masalah gangguan air di kawasan tersebut tidak akan selesai selagi tiada tindakan tegas daripada aspek pemantauan dan penguatkuasaan bagi menghukum individu yang melakukan jenayah alam sekitar.

“Penduduk Kuala Nerus dan Kuala Terengganu boleh mengambil tindakan undang undang menggunakan akta sedia ada.

“Akta 655 yang memperuntukkan kawal selia sosial, ekonomi, teknikal dan perlindungan hak pengguna apabila perkhidmatan air terganggu, sama ada akibat salah laku dan kurang penguatkuasaan atau pemantauan,” ujarnya.

Lebih 100,000 penduduk di Kuala Terengganu dan Kuala Nerus menderita berminggu-minggu akibat terputus bekalan air bersih.

Krisis gangguan bekalan air kali ini adalah yang terburuk pernah berlaku di Terengganu membabitkan lima kawasan Dewan Undangan Negeri.

Sebelum ini, Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) memaklumkan bahawa krisis gangguan bekalan air itu adalah disebabkan pam bersaiz 1,200 milimeter pecah di dasar Sungai Terengganu pada awal pagi 2 Ogos lalu.

Mengulas lanjut, Zamir berkata, penduduk bukan sahaja boleh menuntut ganti rugi berdasarkan anggaran kasar penggunaan bil air.

Bahkan, katanya, penduduk terjejas juga boleh mengambil kira faktor lain apabila ada pengguna terpaksa membeli air mineral kerana tidak mendapat bantuan lori tangki.

“Pengusaha komersial yang turut terjejas boleh menuntut pampasan besar berdasarkan kerugian yang dihadapi kesan dari masalah gangguan air,” tambahnya lagi.

Terdahulu, Pengerusi AMANAH Negeri Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah telah menyarankan siasatan terperinci dijalankan untuk memastikan krisis gangguan bekalan air tidak berulang.

“Cara pemberian kontrak kerja melibatkan bekalan air, kerja mengambil pasir di sungai, siapa yang bertanggungjawab menyebabkan putusnya paip air tersebut dan segala ulasan dari jabatan kerajaan seperti JBA, UPEN, JPS, UPEN dan jabatan berkenaan lain mesti diketahui umum dan dikaji kerajaan supaya insiden yang sama tidak berulang lagi.

“Malangnya, kerajaan tidak mengambil berat saranan yang diutarakan untuk tatakelola baik serta tadbir urus yang sihat,” kata Raja Kamarul minggu lalu.