Malaysia Dateline

Kualiti guru dalam proses penyampaian pendidikan, wacana menyambut menteri pendidikan baru

Kualiti guru, hakikatnya adalah menjurus kepada usaha untuk mempertegaskan unsur-unsur yang berkaitan dengan potensi, perwatakan serta sifat-sifat yang seharusnya dimiliki dan diadaptasi oleh guru dalam konteks profesionalisme keguruan serta kelebihan peribadi yang seharusnya wujud dalam realiti pembentukan personaliti guru, atas sifatnya sebagai pendidik.

Hakikatnya, kualiti guru menjadi pemangkin kepada pembinaan guru berkualiti. Guru berkualiti dalam erti kata lain adalah guru yang dapat memadankan kehidupannya dengan nilai fungsi, memenuhi keperluan piawai yang ditetapkan serta dapat mentafsir kehendak serta keperluan pelanggan sejajar dengan visi dan misi organisasi dalam proses penyampaian perkhidmatan.

Kerangka pemikiran kualiti guru, dapat dilandaskan kepada aliran pemikiran Peter M. Senge (Senge), melalui penulisannya, The Fifth Discipline.

Perbincangannya berhubung pelaksanaan organisasi pembelajaran, menekankan soal perubahan sikap, watak dan pendirian individu secara menyeluruh bagi membentuk keberkesanan keseluruhan organisasi.

Titik asas kepada perubahan adalah membina keyakinan individu terhadap pembangunan potensi serta membentuk nilai teras yang diterjemah kepada tindakan yang konkrit.

Ini bermakna Senge menekankan soal kualiti individu dalam membina perubahan paradigma organisasi. “A discipline is a developmental path for acquiring certain skills or competencies.”

Disiplin merupakan aspek penting yang membentuk kualiti individu, menjadi teras kepada perubahan tingkah laku dan sikap, kedua-dua aspek ini menjadi pemangkin kepada pembentukan watak dan personaliti individu.

Keadaan ini juga tentunya menjadi pemboleh ubah penting dalam membentuk watak, personaliti dan tingkah laku guru, khususnya dalam situasi pendidikan era digital yang mengarah kepada revolusi industri 4.0.

Senge juga mengingatkan; “attitude is as important as altitude.”

Harus difahami, penyampaian proses pendidikan tidak hanya terbentuk dalam situasi formal semata-mata, sebaliknya juga merentasi proses aplikasi penjanaan secara tidak formal, ini adalah hakikat tabie dalam proses pendidikan.

Keadaan ini tentunya memerlukan tahap integriti diri yang tinggi dan sedar fokus. Membina dua situasi ini; integriti diri dan sedar fokus, memerlukan pertumbuhan secara tekal akan kesediaan kualiti diri dalam konteks keterikatan yang kuat terhadap nilai kebertanggungjawaban.

Berkaitan dengan ini, penyampaian proses pendidikan perlu digerakan di atas prinsip peningkatan berterusan, penambahbaikan dan tindakan pembetulan.

Realiti inilah yang sepatutnya menjadi asas tindakan dalam kalangan guru, sebagai sabitan membangunkan kualiti guru.

Unsur-unsur ini, merupakan kerangka asas dalam membina kekebalan jati diri profesion dalam kalangan guru, memandangkan kerjaya guru dalam dekad-dekad terkini begitu sengit akan cabaran serta bebanan yang harus diserap.

Realiti ini memerlukan guru serta bakal guru mempunyai tahap pertahanan mental dan emosi yang tinggi.

Hakikat cabaran terbesar yang dihadapi guru pada waktu-waktu mendatang, terbentuk daripada sekurang-kurangnya tiga aliran utama; perubahan struktur dan dasar pendidikan, perubahan dimensi politik dan dinamisme persekitaran serta perubahan drastik dalam kemajuan teknologi dan hubungan komunikasi.

Perubahan-perubahan ini, secara sahihnya akan memberikan impak terhadap dunia pendidikan, khususnya dalam aspek penyampaian proses pendidikan.

Menggandakan kecenderungan terhadap pengadaptasian Revolusi Industri 4.0, “segalanya internet.”

Penyampaian proses pendidikan tentunya melibatkan pengukuhan ilmu dan pemerkasaan kemahiran untuk dikuasai oleh setiap kumpulan pelajar. Oleh yang demikian proses pendidikan, berfokuskan kepada pembentukan persekitaran yang menjurus kepada;

  1. Belajar untuk menguasai ilmu
  2. Belajar untuk menguasai kemahiran
  3. Belajar untuk menjadi insan berguna
  4. Belajar untuk keharmonian dan bekerjasama. Pastinya dalam situasi ini, kualiti guru merupakan aspek yang perlu diberikan perhatian dan pembajaan.

    Kualiti guru menjadi asas kepada pembentukan guru berkualiti. Terdapat sekurang- kurangnya lima kerangka model yang dijadikan tapak kepada pembinaan kualiti guru, melibatkan penjanaan;
  5. Sistem pemikiran
  6. Kemahiran kendiri
  7. Model intelektual
  8. Pembentukan perkongsian wawasan
  9. Pembelajaran kumpulan
    Kerangka model ini mempunyai kaitan kitaran dalam mewujud serta membangunkan keupayaan keyakinan dalam membina personaliti, konteks berfikir, bentuk tindakan dan juga sudut pandangan dinamik yang kukuh dalam watak seorang guru.

    Perubahan landskap sosio politik yang membawa kepada perubahan persekitaran kehidupan, tentunya membentuk jiwa, pemikiran serta perspektif sosial yang beragam, kadang-kadang bersifat kontradik dan menimbulkan gangguan terhadap profesionalisme hubungan antara individu yang menimbulkan ketegangan sosial.

Sehubungan dengan itu, pengukuhan kualiti guru, merupakan aspek yang penting dalam membina integriti guru dan juga wibawa guru, khususnya dalam mengadaptasi realiti perubahan teknologi maklumat dalam realiti memperteguh proses pendidikan.

Realitinya proses pendidikan akan mempunyai puncak makna, terutama dalam konteks pembangunan manusia, apabila wujudnya kefahaman berkesan berkaitan dengan semangat manusia dan kemanusiaan yang tertanam dalam individu yang terlibat dalam proses pendidikan, sama ada pelajarnya mahu pun gurunya.

Ini bererti, dunia pendidikan seharusnya mempunyai pendokong kreatif yang dapat memahami hasrat dan wawasan pendidikan, khususnya yang berkait dengan kebolehan penaakulan dan pencegahan masalah, keupayaan untuk memahami, mengguna dan mengurus emosi secara positif bagi mengurangkan tekanan.

Bertindak secara pro aktif mempertingkat kemampuan komunikasi berkesan, juga membina berkebolehan mengatasi cabaran dan mereda serta mengurus konflik.

Aspek lain yang menjadi teras kepada kualiti guru adalah berkait dengan kemahiran mengurus perhubungan, sebagai satu inisiatif mendorong setiap individu untuk memahami keperluan persekitaran bagi memperkukuh pengaruh serta mempertingkat keyakinan dalam mengaktifkan secara maksimum penyampaian proses pendidikan.

Pembentukan kualiti guru dalam kerangka penyampaian proses pendidikan, seharusnya juga mengambil kira akan interaksi watak yang melibatkan penzahiran potensi sikap pelindung, pencernaan kesungguhan, kreativiti yang membangga organisasi dan juga penampilan peribadi perihatin dan cakna.

Unsur-unsur ini hakikatnya menjadi model yang akan membentuk persekitaran dinamik, progresif dan inovatif khususnya dalam merencana persekitaran pendidikan, terutama sekali dalam kerangka pelaksanaan pengajaran, pembelajaran dan bimbingan bagi melonjakkan prestasi dan potensi pelajar.

Ini bermakna kualiti guru mempunyai pengaruh yang besar terhadap usaha untuk mencapai objektif pendidikan, terutama dalam membina realiti persekitaran pendidikan berteraskan pelonjakan kemahiran dan perkembangan individu selaras dengan perkembangan dan keperluan revolusi teknologi dan kepantasan penyebaran maklumat melalui kepesatan kemajuan internet.

Tambahan pula, dalam setiap penyampaian proses pendidikan pertimbangan secara kreatif perlu dilakukan bagi menentukan setiap aktiviti pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan berdasarkan pertimbangan peraturan, prosedur, undang-undang serta disiplin yang ditetapkan.

Sehubungan dengan itu, agak jelas bahawa perkembangan dan pembentukan kualiti guru sewajarnya menjadi agenda utama profesionalisme, membolehkan wujudnya usaha berterusan mempertingkat kemahiran serta mempertajam pengetahuan khusus dan pengetahuan umum.

Keadaan ini, membolehkan wujudnya kesedaran tinggi terhadap tanggungjawab inovasi dalam penyampaian proses pendidikan.

Di samping mendorong kesedaran tinggi terhadap aspek nilai kepimpinan guru serta memperteguh kewibawaan dalam kepimpinan kepengurusan organisasi pendidikan.


Penulis merupakan Penyelidik Perunding Human Resource Academy

Baca juga: Meja kemas: MB Terengganu goyang kaki, duit royalti ‘free’ sejak tahun 2019

Baca juga: Anwar ibarat buku yang menarik untuk dibaca – Rakyat bangga ada PM bertaraf dunia