Malaysia Dateline

Kuasa kawalan gas pindah ke Sabah disambut baik

Kerajaan negeri Sabah menyambut baik keputusan Kerajaan Persekutuan memindahkan kuasa kawal selia bekalan gas kepada negeri itu.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pengumuman Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam bukti usaha bersungguh-sungguh Kerajaan Persekutuan merealisasikan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63)

“Kerajaan negeri teguh dalam usaha untuk mengawal dan menguruskan sumber minyak dan gas negeri,” kata Hajiji dalam satu kenyataan.

Kuasa kawal selia bekalan gas di Sabah adalah antara beberapa isu besar yang diluluskan Jemaah Menteri semalam, selepas Anwar mengarahkan tunggakan tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 diselesaikan dalam tempoh sebulan.

Susulan pemindahan kuasa tersebut, peletakan harga dan perjanjian baharu bekalan gas di Sabah akan ditentukan oleh Kerajaan Negeri

Dijangka dengan perubahan kawal selia itu Sabah akan menikmati pendapatan yang lebih tinggi daripada industri gas asli dan mempercepat proses pembangunan di negeri antara termiskin di Malaysia itu.

“Selepas keputusan itu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agung, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah, Dewan Undangan Negeri (DUN) akan mengadakan sidang khas untuk meluluskan dan mewartakan Rang Undang-Undang Negeri Sabah bagi bekalan gas.

“Suruhanjaya Tenaga Sabah akan mengambil alih semua kuasa kawal selia untuk bekalan gas di darat (penggasan semula, penghantaran, pengedaran, penggunaan gas oleh pemegang lesen swasta dan runcit) di negeri ini berkuat kuasa serta-merta,” kata Hajiji lagi.

Baca juga Identiti Malaysia di tangan PM Anwar: Ini tiga perkara rakyat di Malaysia Timur dambakan