Lagu raya Aliff Syukri jadi bahan cemuh, warga Indonesia juga anggap aksi ‘sotong’ melampau hina baju Melayu

Oleh ARIF ATAN

Video muzik lagu raya nyanyian Datuk Seri Aliff Syukri dan isterinya tidak kelakar sebaliknya jadi bahan cemuh orang ramai gara-gara aksi ‘sotong’ sekumpulan penari lelaki yang melampaui batas.

Hanya baru dua hari disiar menerusi YouTube, lagu ‘Kelepok Raya’ dendangan usahawan kosmetik dan isterinya, Datin Seri Nur Shahida Mohd Rashid sekarang sudah menduduki tangga kedua sohor kini di laman perkongsian video itu.

Bagaimanapun, video muzik berdurasi 5 minit 23 saat yang turut mengetengahkan anak-anak pasangan selebriti itu dianggap warganet telah dicemari gaya keterlaluan lelaki lembut berkenaan.

Malah, ada menyifatkan paparan aksi dalam video muzik itu sebagai satu cara halus menormalisasikan penyimpangan fitrah golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di negara ini.

Babak pembukaan video muzik itu sahaja dilihat sudah melanggar adab dalam agama Islam dan menghina tatacara pemakaian baju Melayu apabila muncul tiga lelaki bersongkok tetapi menyerupai bahkan mengalahkan gaya berahi perempuan.

Ketiga-tiga mereka mengenakan busana ‘gila’ bertemakan hitam dan merah sambil terkinja-kinja di tengah sawah.

Salah seorang daripada penari terbabit memakai singlet tanpa segan silu menampakkan bahagian ketiaknya manakala yang lain mengenakan skirt dengan kesemuanya sarat berantai leher.

Lebih memeranjatkan orang ramai apabila paparan video muzik itu juga menunjukkan Aliff berbaring di tengah kumpulan lapan lelaki yang juga berbaju Melayu tetapi ‘bergelimpangan’ dan saling menindih antara satu sama lain itu.

Mereka dilihat menggeliat dan menguap seolah-olah selepas bangun tidur dengan ada antara penari itu selamba meraba tubuh dan kaki rakan masing-masing serentak dengan wajah penuh ghairah.

“Tahniah Dato (Aliff Syukri). Berjaya menghasilkan karya lagu yang terpondan dalam sejarah Malaysia,” perli Faisal Zainol semalam dengan mendapat lebih 1,000 tanda ‘suka’ setakat petang ini.

Bahkan, seorang pelayar YouTube yang mengaku dari Indonesia juga menyuarakan rasa terkilan dengan video muzik terbaharu penyanyi lagu Bobo Di Mana dan Abang Nak Tegur itu.

“Saya merupakan fans Dato Aliff dari indonesia. Sangat disayangkan baju Melayu di sini ditampakkan dengan sangat buruk.

“Baju Melayu merupakan tradisi dan melambangkan agama dari suatu kaum Muslimin tapi dalam video muzik ini sangat bertolak belakang, ia digambarkan dengan seorang lelaki memakai songkok namun berkelakuan melebihi perempuan,” tulis Ghazali di ruangan komentar YouTube lagu aksi ‘sotong’ kepanasan itu.

Sehubungan itu, Ghazali berharap agar pihak kerajaan memberikan peringatan terhadap penyalahgunaan adat dan tradisi berbusana Melayu itu.

Sebelum ini, Aliff sememangnya mengundang kecaman orang ramai apabila dua video muzik bagi lagunya turut mengetengahkan usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau Sajat yang pernah mengaku dirinya transgender.

Baca Kes Mujahid saman Harakah isu Sajat bertelekung selesai secara mediasi

Baca Aliff Syukri nafi MV terbaru promosi golongan LGBT