Malaysia Dateline

Lain macam dia punya ikhlas, netizen geli hati lihat meja pun boleh jadi ‘mangsa’

Lain macam tahap ikhlas si pemberi hinggakan permukaan atas meja pun boleh jadi ‘mangsa’ terpampang namanya.

Lengkap dengan tiga baris, nama sama di dinding kerusi batu berwarna putih menarik perhatian netizen.

Nama Menteri Kewangan berserta pangkat dan gelaran itu difahamkan dirakam di Pejabat Daerah Kuala Selangor.

“Ikhlas dari YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul bin Tengku Abdul Aziz.” Itu ungkapan tertera.

Sehubungan itu, deretan komentar netizen berbau sinikal bertebaran di media sosial.

Ramai yang secara sinis mencadangkan adalah lebih elok pihak pemberi kerusi dan meja itu turut letak gambar muka agar terserlah sifat ikhlas.

“Sebaik-baiknya letak muka sekali. Baru jelas ikhlas. Tak letak muka bukan semua kenal,” seloroh Shahrul Azhar.

Lebih pedas nada sindiran apabila mengaitkan dengan kematian selain kononnya tulisan tertera itu mampu dilihat dari satelit.

“Ingatkan nak buatkan batu nisan macam ni,” komen Yusril Abdul Rahman manakala Afif Roslan pula berkata, “Ni guna google map pun nampak ni.”

Tengku Zafrul

Tidak kurang juga secara sinis mencadangkan Tengku Zafrul meniru pendekatan pengumuman menerusi sistem siar raya seperti di pasar raya itu.

“Baik letak speaker macam di pasar raya tu. Ulang-ulang ayat tu sampai abang jamil mamp*s,” gurau Asnor Izam.

Ada juga yang menyarankan supaya saiz tulisan di kerusi dan meja itu dibesarkan lagi selain mengesyorkan supaya Tengku Zafrul menyertakan sama nombor kad pengenalan.

“Sebab terlalu ikhlas, lain kali bubuh nombor ic sekali,” sindir seorang warganet.

Untuk rekod, Tengku Zafrul bulan lalu memberitahu kementeriannya memilih Kuala Selangor sebagai “daerah angkat” hingga mengundang kecaman banyak pihak.

Kenyataan tokoh korporat itu dilihat banyak pihak sebagai kemungkinan beliau akan bertanding di Parlimen Kuala Selangor pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Namun, dilaporkan kepemimpinan Umno Kuala Selangor tidak begitu menyambut baik kehadiran Tengku Zafrul di kawasan yang disandang oleh Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dari Parti Amanah Negara (AMANAH) itu.

Bahkan, peluang Tengku Zafrul untuk merampas Parlimen Kuala Selangor daripada bekas Menteri Kesihatan itu juga dilihat penganalisis politik sebagai agak sengit.

Hal ini memandangkan Dr Dzulkefly menang majoriti besar 8,498 undi pada PRU-14.

Baca juga Mengapa tidak pindahkan saja Kementerian Kewangan ke Kuala Selangor?