Sebuah laman web didakwa memiliki dan menjual butiran peribadi rakyat Malaysia secara haram yang boleh menyebabkan data itu jatuh ke tangan individu tidak bertanggungjawab dan kemungkinan dieksploitasi untuk menjana keuntungan kewangan.
Seorang pengguna Twitter yang menggunakan akaun @Radz1112 mendedahkan, laman web yang dijumpainya boleh diakses melalui ‘Google Search’ dan laman berkenaan menyediakan maklumat sulit rakyat Malaysia yang sudah bocor dari Jabatan Pendafataran Negara (JPN).
Dia memberitahu, laman web berkenaan membenarkan sesiapa sahaja untuk mencari maklumat sulit rakyat Malaysia melalui nama penuh, nombor kad pengenalan atau tarikh lahir.
Dia mengakui telah mencuba sendiri laman web tersebut dan perkara itu adalah betul.
“Terdapat alat OSINT sudah keluar dalam ‘clearnet’ (rangkaian internet terbuka, Google) yang menggunakan pangkalan data JPN yang bocor.
“Apa yang anda perlukan hanyalah nama seseorang dan mungkin tahun lahir, kemudian anda boleh mengesahkan bahawa mereka bekerja untuk polis dan/atau tentera Malaysia.
“Pertahanan negara kita baru sahaja diganggu,” katanya.
Bagaimanapun semakan pengguna tersebut mendapati laman web berkenaan tidak lagi boleh diakses pada semalam sekitar jam 6.30 petang, namun tidak diketahui entiti mana yang menutup laman terssbut.
Pengguna itu mendakwa maklumat yang dimasukkan dalam aplikasi MySejahtera juga boleh diperoleh menggunakan alat berkenaan tetapi perlu dibayar untuk mendapatkan maklumat tersebut.
Sebagai langkah keselamatan, dia meminta agar orang ramai tidak mendedahkan identiti diri seperti nama sebenar, tarikh lahir, negeri kelahiran dan nombor plat lesen dalam media sosial.
“Rakyat tidak boleh berhenti daripada terus memperjuangkan usaha ke arah keselamatan siber negara yang lebih baik,” katanya.
Baca juga: SPRM digesa campur tangan dalam isu tanah Kg Sungai Baru, kenapa ghairah sangat guna Akta
Baca juga: Cara pam tayar kereta dengan betul, ramai tak tahu info penting ini