Lebih 10 bulan eskalator rosak, netizen puas hati akhirnya dibaiki lepas Anthony Loke jadi menteri

Oleh KIM SYAZIE

Baru-baru ini orang ramai berkongsi beberapa video menunjukkan eskalator di sekitar Lembah Klang mula beroperasi kembali setelah kemudahan itu di kebanyakan tempat tidak berfungsi selama berbulan-bulan.

Orang awam berkongsi kelegaan mereka mendakwa tindakan pantas Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook telah memudahkan perjalanan mereka menggunakan pengangkutan awam.

Antara eskalator yang berjaya dibaiki termasuklah eskalator di Stesen Suria KLCC, eskalator LRT Dang Wangi, eskalator depan LRT Ampang Park dan eskalator MRT Kajang yang diberitahu sedang dalam proses baik pulih.

Difahamkan, eskalator di Stesen Suria KLCC tidak dapat digunakan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020.

Netizen meluahkan rasa terkejut dan kagum dengan tindakan pantas yang digerakkan pasukan Anthony kerana mendakwa kemudahan eskalator di stesen-stesen tumpuan sudah berbulan tergendala dan tiada tindakan lanjut.

Sebelum ini Loke memaklumkan semua lif di 16 stesen monorel sekitar Lembah Klang masih tidak berfungsi.

Selain itu, sebanyak 46 daripada 706 eskalator juga didapati tidak berfungsi, manakala dari aspek pencahayaan pula, laporan audit dari Prasarana memaklumkan sebanyak 664 lampu masih tidak berfungsi.

Beliau kemudian telah mengerahkan usaha untuk membaiki dan mengganti kemudahan yang rosak dilakukan dengan segera.

Baca juga: Khalid jawab isu Gelombang Hitam: “Mereka tolak tawaran bersama kerajaan, sekarang mereka dengki”

Baca juga: Anthony Loke tinjau keadaan LRT sendirian, rasai pengalaman bersesak waktu puncak