Malaysia Dateline

Lebih 27,000 menyaksikan jenazah Siti Sarah dikebumi

Lebih 27,000 tontonan di Facebook Live Harian Metro sebentar tadi menyaksikan proses jenazah Allahyarham Siti Sarah Raissuddin dikebumikan.

Dalam masa sama, pemberita di lokasi turut memaklumkan ratusan orang ramai hadir termasuk selebriti dan penduduk tempatan menyaksikan pengebumian Allahyarhamah dari luar pagar tanah perkuburan itu.

Kedengaran melalui pembesar suara peringatan pihak berkuasa yang berulang kali mengingatkan agar mereka yang hadir mematuhi prosedur operasi standard (SOP) termasuk penjarakan fizikal untuk mengekang penularan Covid-19.

Penyanyi lagu Kesetiaan berkenaan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu, Gombak kira-kira jam 1.40 petang tadi.

Siti Sarah menghembuskan nafas terakhir akibat Covid-19 jam 5.13 pagi tadi di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM).

Allahyarhamah yang meninggal dunia pada usia 36 tahun merupakan isteri kepada pelawak dan usahawan Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhammad.

Difahamkan, jenazah dikebumikan bersebelahan pusara ibunya Allahyarham Noor Aini Mohamad.

Malam tadi, Shuib memaklumkan keadaan Siti Sarah berada dalam keadaan agak tenat dan sudah ditiarapkan dengan paras bacaan oksigen menurun 40 peratus.

Terdahulu, Siti Sarah terpaksa ditidurkan dan melahirkan bayi lelaki, Ayash Affan yang masih berusia tujuh bulan melalui pembedahan tanpa sedar, jam 5 petang pada 6 Ogos lalu.

Siti Sarah pada 27 Julai lalu mengesahkan dirinya, suami dan anak-anaknya positif Covid-19.

Tiga anak mereka ialah Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, dan Ariq Matin, 6.

Bagaimanapun, Shuib bersama tiga anak disahkan negatif selepas melakukan kuarantin kendiri selama 14 hari.

Siti Sarah dan Shuib mendirikan rumah tangga pada 2011.

Semalam, Covid-19 merekodkan bilangan kematian harian tertinggi, 360 kes menjadikan jumlah maut akibat pandemik itu sehingga semalam, sebanyak 10,749 kes.

Secara purata, lapan kes kematian akibat Covid-19 berlaku dalam tempoh setiap sejam sepanjang 1 hingga 7 Ogos lalu.

Negara kini mencatatkan jumlah keseluruhan jangkitan Covid-19 sebanyak 1,262,540 kes sehingga semalam dengan bilangan harian tertinggi mencecah 20,889 kes pada 6 Ogos lalu.

Malaysia Dateline merakamkan doa dan setulus takziah kepada keluarga Siti Sarah serta ribuan ahli keluarga rakyat Malaysia yang telah terkorban selepas bertarung dengan pandemik Covid-19.

Pemergian Siti Sarah hari ini menambah senarai panjang kes kematian akibat Covid-19 yang sudah berjumlah 10,749 kes setakat semalam.