Cuti haid diberi bertujuan memberi manfaat kepada wanita yang alami sakit teruk semasa haid, bukan kerana sedikit rasa ketidakselesaan atau sakit biasa.
Pada asasnya keperluan pemberian cuti ini timbul susulan keperluan berbeza para wanita di mana sebahagian wanita mengalami sakit yang sangat teruk seperti disemornea (senggugut) sehingga boleh membuatkan seseorang itu berasa sangat lemah khususnya pada hari pertama hingga hari ketiga haid.
Penting untuk seseorang itu menjelaskan rasa sakit haid yang dialami. Kita tidak bercakap tentang sedikit rasa ketidakselesaan, tetapi mengenai gejala serius seperti kekejangan, cirit-birit, sakit kepala yang teruk serta demam.
Rasa sakit yang dialami itu mungkin boleh menyebabkan seseorang hilang keupayaan sementara sama ada daripada sudut fizikal, mental dan emosi yang memerlukan mereka untuk berehat di rumah.
Justeru, cuti haid itu bertujuan untuk memberi manfaat kepada wanita yang mengalami sakit haid yang sangat menyakitkan sehingga menjejaskan keupayaan mereka menjalankan tugas pada hari tersebut.
Berdasarkan carian saya, terdapat kurang lebih enam buah negara yang sudah menguatkuasakan Cuti Haid di negara masing-masing iaitu Taiwan, Jepun, Korea Selatan, Indonesia, Zambia dan Sepanyol, tetapi dengan jumlah hari yang berbeza.
Taiwan
Di Taiwan, melalui Akta Kesaksamaan Gender dalam Pekerjaan memberikan peluang kepada pekerja wanita mereka mendapat tiga hari cuti haid dalam setahun. Cuti berkenaan tidak termasuk cuti sakit biasa. Ini memberikan kelebihan kepada kaum wanita mereka yang memperolehi jumlah 33 hari cuti berkaitan kesihatan pada setiap tahun.
Indonesia
Pada tahun 2003, Indonesia juga telah meluluskan undang-undang bagi memberi wanita cuti haid bergaji dua hari setiap bulan, tanpa memberi notis terlebih dahulu. Walaubagaimanapun, peruntukan tersebut adalah mengikut budi bicara majikan.
Menurut HR World Economic Times, terdapat majikan membenarkan cuti haid hanya satu hari sebulan, manakala ada segelintir tidak memberikan cuti haid langsung.
Korea Selatan
Di Korea Selatan pula, pekerja wanita mereka berhak mendapat satu hari cuti haid tanpa gaji setiap bulan, atau majikan berdepan denda sehingga 5 juta won (RM16,997) sekiranya gagal memberi keizinan.
Namun, penggunaan cuti haid di Korea direkodkan menurun. Dalam tinjauan 2013, hanya seramai 23.6 peratus wanita Korea Selatan menggunakan cuti tersebut. Menjelang 2017, kadar tersebut jatuh kepada 19.7 peratus.
Bagaimanapun, pekerja wanita mesti dibayar untuk cuti haid yang tidak digunakan. Pekerja wanita akan mendapat gaji tambahan jika mereka tidak mengambil cuti haid.
Jepun
Di Jepun, terdapat undang-undang sejak 1947 menyatakan majikan perlu memberi wanita cuti haid jika dipohon. Bagaimanapun tidak ramai yang memanfaatkannya termasuklah atas faktor pengekalan daya saing antara pekerja wanita dan lelaki.
Tinjauan kerajaan Jepun pada tahun 2017 mendapati hanya 0.9 peratus pekerja wanita menuntut cuti berkenaan. Manakala dapatan kajian kementerian sumber manusia pada 2020, kira-kira 30 peratus majikan di negara itu membayar gaji pada hari pekerja wanita cuti haid.
Zambia
Di Zambia, pekerja wanita berhak mengambil cuti sehari sebulan berdasarkan polisi cuti haid. Ia juga dikenali sebagai ‘Hari Ibu’. Pekerja wanita berhak mendakwa majikannya jika dinafikan hak tersebut.
Sepanyol
Sepanyol menjadi negara Barat pertama yang memberikan cuti haid, iaitu sebanyak tiga hari sebulan kepada pekerja wanita yang mengalami sakit haid seperti sengugut semasa bekerja.
Malah Sepanyol turut memperkenalkan beberapa inisiatif khas untuk menjamin kesihatan haid dan pemulihan kesihatan reproduktif di negara mereka, termasuklah memberi cuti kepada wanita yang menggugurkan kandungan, galakan pemberian tuala wanita dan tampon percuma kepada pelajar-pelajar di sekolah dan wanita yang tidak berkemampuan, selain mengeluarkan cukai VAT bagi harga barangan tersebut di pasar raya.
Malaysia pula bagaimana?
Di Malaysia, Kementerian Sumber Manusia telah menggalakkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan firma swasta di Malaysia untuk melaksanakan dasar cuti haid mengikut keputusan sendiri tanpa perlu menunggu kerajaan menggubalnya.
GLC dan firma swasta bebas untuk menambah cuti haid kepada pekerja wanita di dalam polisi syarikat masing-masing dan boleh membincangkan isu tersebut dengan kesatuan pekerja serta pihak-pihak lain yang berkaitan.
Untuk membolehkan cuti haid dimasukkan ke dalam undang-undang, ianya memerlukan banyak masa dan kajian mendalam kerana inisiatif yang sedang diperdebatkan ini boleh menandakan kemajuan sesebuah negara tetapi tanpa disedari akan mengehadkan kerjaya wanita.
Di satu sisi, dengan melaksanakan cuti haid, ianya akan meningkatkan hak wanita dan dilihat sebagai satu langkah progresif oleh pihak kerajaan. Namun pada sisi gelap yang lain, jika inisiatif cuti haid dilaksanakan, wanita berkemungkinan kurang diambil oleh pihak majikan sebagai pekerja dan sedikit sebanyak ianya akan menjejaskan kerjaya seseorang wanita.
Di negara di mana haid dan kesihatan wanita masih menjadi satu stigma (termasuklah Malaysia), kebajikan khusus untuk kaum hawa ini hanya akan menimbulkan lebih banyak diskriminasi ke atas wanita di tempat kerja.
Rina dan Zailah disaran lebih tumpu pada menangani masalah kemiskinan haid (period poverty)
Berbanding cadangan pemberian cuti haid, saya lebih cenderung mencadangkan agar Menteri dan Timbalan Menteri Wanita memberikan tumpuan kepada usaha menangani masalah kemiskinan haid dalam negara kita, di samping memperkenal sekaligus melaksanakan insentif-insentif khas penjagaan dan rawatan kesihatan wanita terkait masalah haid.
Kemiskinan haid sebenarnya meliputi aspek yang lebih kompleks, terutama dalam memastikan pengurusan haid yang selamat, bersih dan bermaruah.
Empat elemen asas yang perlu ditangani dalam menyelesaikan isu kemiskinan haid adalah…
1. akses kepada produk sanitari,
2. ilmu dan didikan tentang haid,
3. akses kepada infrastruktur sanitari, dan
4. privasi untuk menukar tuala wanita.
Pada 2018, Bank Dunia menganggarkan lebih kurang 500 juta wanita di seluruh dunia tidak mampu memperoleh keperluan asas sewaktu haid atau turut diistilahkan sebagai “kemiskinan haid”.
Negara ini juga sebenarnya berdepan masalah yang sama, namun tidak diangkat sebagai polemik terbuka bahkan masih menjadi satu stigma menyebabkan hingga kini tiada data dikeluarkan berkenaan jumlah sebenar kumpulan yang terkesan oleh permasalahan tersebut.
Beberapa negara di dunia telahpun mengambil langkah menangani cabaran kemiskinan haid, contohnya Britain, Scotland, Peranchis, Sepanyol dan New Zealand yang membabitkan kerjasama rapat di antara kerajaan dan badan-badan NGO. Bahkan di Britain misalnya kerajaan memperuntukkan sejumlah dana untuk petugas khas jabatan kerajaan, badan kebajikan dan perusahaan persendirian bagi menangani isu kemiskinan haid.
Malaysia perlu efektif bergerak segera ke hadapan mengurus sekaligus menangani isu kemiskinan haid secara konstruktif.
Baca juga: Tular gambar penunggang motosikal tersepit pada tayar, polis cerita bagaimana boleh berlaku