Malaysia Dateline

Tular gambar penunggang motosikal tersepit pada tayar, polis cerita bagaimana boleh berlaku

Pelik dan mengerikan! Itu yang boleh diluahkan apabila tular satu gambar seorang lelaki warga emas maut tersepit pada tayar bahagian belakang sebuag kereta jenis Perodua Myvi.

Beberapa jam selepas itu atas ihsan netizen, ada yang berkongsikan satu video menyaksikan bagaimana kejadian menyayat hati tersebut boleh berlaku. Namun tak dapat dilihat dengan jelas kemalangan yang berlaku kerana kedudukan CCTV yang agak jauh.

Ekoran kejadian tersebut, Ketua Polis Daerah Segamat Supritendan Bahrin Mohd Noh telah mengeluarkan kenyataan mengenai kemalangan yang berlaku di KM 58 Jalan Jementah – Muar di Segamat, Johor.

Menurut Bahrin, lelaki warga emas yang maut itu berusia 80-an. Kejadian berlaku selepas motosikal ditunggangnya merempuh sebuah kereta sebelum diseret dalam kemalangan di 58 Jalan Jementah-Muar.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang itu, mangsa ditemui sudah tidak bernyawa tersepit pada tayar bahagian belakang kereta jenis Perodua Myvi.

Siasatan awal mendapati, Perodua Myvi yang dipandu seorang pemuda berusia 30-an dalam perjalanan dari arah Jementah menghala Segamat.

“Semasa tiba di lokasi kejadian, motosikal yang ditunggang warga emas itu disyaki keluar secara tiba-tiba ke laluan kereta berkenaan.

“Disebabkan jarak terlalu dekat, penunggang motosikal telah gagal mengawal kenderaannya dan telah melanggar bahagian tepi belakang sebelah kiri kereta tersebut.

“Akibat pelanggaran itu penunggang telah terjatuh jalan raya dan telah terseret sebelum terjatuh lalu terseret dan tersangkut pada tayar belakang,” katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan.

Bahrin berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas diperiksa pihak ambulan dari Klinik Kesihatan Jementah.

Memetik Kosmo!, pihak polis turut meminta bantuan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk mengeluarkan mangsa dengan menggunakan peralatan khas.

Polis Segamat turut menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan tersebut diminta tampil membuat laporan di mana-mana balai atau Balai Trafik Segamat.

Baca juga: Gaji Adun Sabah naik, rakyat tanya gaji minimum RM1,500 bila pula nak laksana?