Seorang lelaki berbangsa Cina terkejut apabila rakan-rakannya ‘mengenakan dia’ dengan memanggil kumpulan kompang untuk menyanyikan lagu ulang tahun sempena hari lahirnya.
Situasi tersebut yang dianggap ‘rare’ dan lucu telah menarik perhatian ramai.
Dalam rakaman berdurasi dua minit yang dikongsi pengguna media sosial di Twitter, lelaki Cina bersama rakan-rakannya dilihat sedang berkumpul beramai-ramai di sebuah kafe.
Secara tiba-tiba muncul lebih 10 pemain kompang yang lengkap berbaju Melayu memasuki kafe berkenaan sebelum menyanyikan lagu hari lahir untuk lelaki tersebut.
Rakaman video yang tular di Twitter itu membuatkan ramai teruja dengan ada antara mereka mengatakan sebagai Melayu, mereka juga tidak pernah terfikir untuk melakukan hal sedemikian.
Bagaimanapun ada yang menganggap ianya sensitif, mengatakan tindakan memanggil kumpulan kompang seolah menjadikan budaya masyarakat Melayu sebagai bahan jenaka.
Tetapi sebahagian besar pengguna media sosial yang berbangsa Melayu mengatakan bahawa ianya bukanlah isu besar kerana kompang merupakan budaya dan bukan melambangkan agama.
Justeru, tidak timbul isu mempermainkan adat masyarakat Melayu.
Bahkan mereka berbesar hati kerana bangsa lain menghargai dan menyukai seni kompang yang merupakan tradisi masyarakat Melayu yang selalunya dapat dilihat di majlis-majlis perkahwinan.
Ada juga yang berseloroh mengatakan mereka mahu mengenakan rakan dengan menempah tarian singa untuk hari lahir rakan Melayu mereka.
Baca juga: [VIDEO] Sikap ramah Neelofa dan PU Riz layan pekerja McD, disenangi ramai
Baca juga: Pemimpin Pas mohon maaf lepas kata undi PH, BN masuk neraka