Malaysia Dateline

Pemimpin Pas mohon maaf lepas kata undi PH, BN masuk neraka

Pemimpin Pas, Mohd Shahiful Mhd Nasir tampil membuat permohonan maaf secara terbuka dan menarik semula kenyataannya yang memberi amaran ‘akan masuk neraka’ jika memilih Barisan Nasional atau Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15.

Menerusi video yang dimuatnaik di Facebook, Ketua Dewan Pemuda Pas Kawasan Sik itu berkata, beliau menyedari kekhilafannya dan meminta orang ramai untuk menghentikan segala bentuk penyebaran video ketika sesi ceramahnya semalam.

Akuinya, syurga dan neraka bukanlah ditentukan berdasarkan sokongan kepada parti, tetapi melibatkan perbuatan baik atau buruk yang dilakukan seseorang.

“Saya ingin memohon kemaafan kepada semua pihak yang telah tersinggung dengan ucapan saya yang telah tular hari ini.

“Berkenaan syurga dan neraka ini bukanlah dipertentukan hanya kepada penyokong Barisan Nasional dan Pakatan Harapan, tapi dia melibatkan secara umumnya melakukan kebaikan atau pun kejahatan.

“Sekali lagi saya ingin memohon maaf kepada semua di atas kekhilafan ucapan yang telah saya sampaikan. Semoga Allah mengampunkan dosa-dosa kita semua,” katanya dalam video permohonan yang dimuatnaik hari ini.

Kenyataan di Facebook rasmi Pemuda Pas Sik

Terdahulu, tular rakaman berdurasi 15 saat dipercayai sesi ceramah sempena Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang dianjurkan Pemuda Pas di Sik.

Dalam ceramah berkenaan, Shahiful berkata jika pengundi tidak mengundi Perikatan Nasional, mereka akan masuk api neraka.

“Ingat pesan saya kepada semua pengundi di Sik yang nak mengundi ni, balik pangkah Perikatan Nasional (PN). Siapa yang pangkah BN dan PH, masuk api neraka,” katanya.

Baca juga: ‘Presiden persatuan single dah kahwin’ – Netizen gembira Najwa Latif tamatkan zaman bujang

Baca juga: ‘Gaji menteri letak basic saja RM1,500, biar rasa kepala rakyat berdenyut’ – Awas, ahli politik! Ini apa pengundi muda mahu