Malaysia Dateline

Lelaki habiskan masa dua tahun doodle sendiri banglo putih berharga RM7 juta

Seorang artis seni di Britain menghabiskan masa dua tahun mengecat keseluruhan bahagian rumah banglonya dengan menggunakan kemahiran ‘doodle’ menjadikan semua sudut di rumahnya hanya dipenuhi lukisan berwarna hitam putih.

Dalam video yang dimuatnaik di media sosial lelaki itu, tiada satu pun ruang yang ditinggalkan tanpa lukisan doodle, termasuk dinding dan siling rumah serta peralatan termasuk televisyen, peralatan memasak dan tab mandi.

Lapor akhbar Daily Mail, lelaki itu yang dikenali sebagai Sam Cox adalah salah satu YouTuber terkenal yang mempunyai 2.7 juta pengikut di Instagram setakat ini.

Artis berusia 28 tahun itu akan menghabiskan masa 16 jam sehari hanya untuk melukis doodle di dinding-dinding rumahnya.

Dia juga terkenal dengan jolokan nama Mr Doodle atau Doodle Man. Sepanjang proses mengecat rumah, Sam telah menggunakan 900 liter emulsi, 401 tin cat semburan, 286 botol cat lukisan dan 2,296 mata pena.

Dia menghabiskan masa selama dua tahun menampal dinding banglo bertema neo-Georgia menggunakan lukisan hitam putih.

Sam mula dikenali ramai pada 2017 selepas membuka sebuah kios kecil di timur London selain video-video hasil karyanya turut ditonton sehingga 46 juta kali seminggu.

Dilaporkan artis berusia 28 tahun pernah melanjutkan pelajaran dalam bidang ilustrasi di Universiti Barat England.

Menurut Sam, matlamat jangka panjangnya adalah untuk membeli sebuah rumah yang akan diubah suai mengikut tema doodle, dan pada 2019, impiannya menjadi kenyataan apabila dia membeli sebuah hartanah di bandar Tenterden, Kent yang berharga £1.35 juta (RM7 juta).

Baca juga: “Salah ni prinsip ’rounding’ dia”- Lagi kes 5 sen, suka hati je kedai genapkan jadi 10 sen

Baca juga: KL City cipta sejarah masuki pusingan akhir Piala AFC setelah tewaskan kelab dari Uzbekistan