Sejak kebelakangan ini, lebih ramai ibu bapa memilih untuk menghantar anak mereka bersekolah di Sekolah Jenis Kebangsaaan Cina (SJKC). Selain menguasai bahasa Melayu dan Inggeris, pelajar Bumiputera juga dilihat semakin berminat untuk menguasai bahasa Cina.
Namun, sebagai pelajar Melayu yang tiada asas dalam mandarin, anak-anak perlu diperhatikan kemampuan mereka mempelajari bahasa Cina yang kebiasaannya dijadikan sebagai bahasa pengantar di sekolah SJKC.
Seperti perkongsian seorang pengguna Facebook, Danial Arif, dia memberitahu hakikat sebenar bahawa bahasa Cina sangat susah untuk dipelajari kerana bahasa Cina itu sendiri susah.
Dia yang mempunyai pengalaman bersekolah di sekolah Cina sejak umur 5 tahun, memberitahu memang ada kes di mana pelajar Melayu ketinggalan dalam pelajaran kerana tidak menguasai bahasa Cina dengan baik.
Dia juga berkongsikan belajar di SJKC tidak semudah apa yang disangka kerana lambakan kerja sekolah tidak akan sama dengan mereka yang bersekolah di sekolah kebangsaan.
“Saya kongsi ini, tujuannya hanya nak kongsi pengalaman. Kalau anda ada anak yang sedang belajar di SJKC, post ini untuk anda. Kalau anda bercadang nak hantar anak belajar di SJKC, post ini juga untuk anda.
“Sekolah Cina ni susah. Sebab bahasa Cina tu sendiri susah. Tapi, saya berjaya kuasai bahasa Cina (percakapan) sebelum masuk darjah 1.
“Saya sendiri tengok ada anak-anak Melayu yang tertinggal dalam pelajaran masa di SJKC. Punca? Sebab tak dapat kuasai mandarin.
“Kenapa tak dapat memahami bahasa ini? Sebab tak ade ‘foundation’, mereka tak mula dari tadika. Tadika Melayu, tapi darjah 1 tiba-tiba masuk SJKC.
“Kalau nak hantar anak masuk ke SJKC, sila hantar mereka ke tadika Cina, mula dari umur 5 tahun,” katanya.
Kalau tak kuasai pembacaan, boleh gagal sebab buku teks dan kertas ujian dalam bahasa Cina
Selain menguasai percakapan, Danial menjelaskan bahawa cabaran kedua adalah membaca kerana tulisan Cina adalah rumit. Ditambah pula mereka tidak menggunakan abjad “ABCD”.
Biarpun dia sudah bersekolah di sekolah CIna sejak tadika lagi, namun dia hanya mampu skor C untuk subjek bahasa Cina (Pemahaman) disebabkan bahasa Cina yang rumit.
Sehingga hari ini dia masih tidak boleh membaca sepenuhnya bahasa mandarin tetapi boleh bercakap dengan lancar.
Dia juga mendedahkan hakikat sebenar di mana jika pelajar tidak boleh memahami tulisan Cina, ia akan membawa kepada masalah yang lebih besar kerana mata pelajaran yang diajar di sekolah-sekolah SJKC akan menggunakan bahasa Cina, termasuk buku teks dan kertas ujian.
“Tak pandai baca ni masalah besar sebenarnya. Sebab semua subjek lain (matematik & sains) buku teks dan kertas ujian ditulis dalam bahasa cina.
“Mudah cerita, pandai macam mana pun sains dan mathematic, tapi tak pandai baca, memang boleh ke laut lah. Sekolah Cina ni kerja sekolah dia bertimbun. Pengalaman saya, saya pernah tidur pukul 12 malam untuk siapkan kerja sekolah.
“Bayangkan struggle kerja sekolah banyak, lepas tu banyak perkataan yang saya tak pandai baca? Sesi pembelajaran sekolah Cina ni biasanya 3 sesi. Maksudnya akan ada 2 kali rehat, balik jam 2.30 macam tu.
“Maksudnya? Anda kena ada inisiatif untuk ajar anak anda bab agama. Kalau nak expect, petang-petang boleh pergi sekolah agama, susah sikit,” katanya lagi.
Dia juga menyarakan ibu bapa berbincang dengan anak-anak sama ada mereka mampu atau tidak untuk belajar di SJKC kerana jika tidak mampu sebaiknya keluarkan dari sekolah itu dan bersekolah di sekolah kebangsaan.
Baca juga: Sebelum kecoh isu kapal LCS, dah pernah kecoh isu kapal selam Scorpene yang tak jelas fungsi