Malaysia Dateline

Sebelum kecoh isu kapal LCS, dah pernah kecoh isu kapal selam Scorpene yang tak jelas fungsi

Isu projek Kapal Tempur Persisir (LCS) sebenarnya bukanlah kali pertama kontroversi timbul di Malaysia melibatkan kerugian perbelanjaan berbilion ringgit untuk membeli kelengkapan pertahanan negara.

Pada tahun 2002, isu skandal pembelian kapal selam Scorpene dari Perancis bernilai Euro 1.2 bilion atau sekitar RM5.5bilion, telah menggemparkan negara dan dunia dengan kontroversi isu rasuah dan juga ada kaitan dengan pembunuhan seorang wanita Mongolia.

Isu tersebut dikaitkan juga semasa dalam siasatan dengan Datuk Seri Najib Razak dan orang kanan beliau Abdul Razak Baginda.

Kegunaan kapal selam Scorpene hari ini tidak jelas fungsinya dan dipercayai sering rosak. Ada yang melaporkan kapal Scorpene sering menghadapi masalah teknikal yang menjejas keupayaannya untuk menyelam ke dasar laut.

Isu kontroversi terkini LCS melibatkan kumpulan orang atasan kerajaan yang berkuasa dan berpengaruh.

Sekali lagi skandal ini melibatkan wang besar sebanyak RM9 billion di mana RM6 billion sudah pun dibelanjakan tetapi kapal belum pun disiapkan. Sementara negara Mesir dan Indonesia pula telah menyiapkan kapal jenis yang sama dalam beberapa tahun sahaja.

Kapal Scorpene dan kapal peronda LCS ini adalah untuk keselamatan negara serta rakyat Malaysia dan setelah berbillion dibelanjakan dan berbelas tahun berlalu, apakah sumbangan mereka kepada keselamatan negara?

Nelayan kita di Terengganu dan Kelantan terus terdedah kepada ancaman lanun dan nelayan ganas dari Vietnam dan Thailand dan apabila bot peronda kita yang agak usang tiba dari Kuantan untuk membantu nelayan kita, ianya sudah terlambat.

Perangkap dan peralatan nelayan kita bernilai ratusan ribu dirosakkan oleh nelayan asing secara ganas dan warga asing agak begitu bebas bermaharajalela di laut kita.

Bayangkan jika wang RM6 billion, yang telah dibelanjakan untuk kapal LCS yang belum siap-siap lagi, ia boleh membina sekitar 4,000 buah bot peronda biasa bagi tujuan keselamatan rakyat dan nelayan di Semenanjung serta Sabah dan Serawak.

Sudah lupakah kita insiden serangan “tentera Sulu’ di Lahad Datu tidak lama dahulu ?

Dengan RM6 billion juga kerajaan boleh membina 20,000 buah bot baru untuk nelayan kita yang kebanyakan menggunakan bot lama yang usang.

Kini setelah RM6 billion dibelanjakan dan selepas begitu lama sebuah kapal LCS pun belum beroperasi dan tiada kepastian bila 6 LCS yang dijanjikan boleh siap beroperasi.

Perkara paling penting perlu diingat di sini adalah dua skandal mega melibatkan berbillion ringgit wang rakyat iaitu projek kapal selam Scorpene dan LCS.

Dua projek ini secara konsisten melihat adanya ketirisan dan pembaziran begitu besar di mana wang boleh dibelanjakan secara lain dengan lebih baik dengan jauh lebih berkesan untuk keselamatan rakyat .

Dalam isu LCS, pandangan dan teguran ketua angkatan tentera laut sebagai wakil ‘pengguna’ dan pakar kapal pun tidak diendahkan membayangkan betapa tersasarnya prioriti pemimpin negara ketika itu.

Apabila kapal tidak berfungsi seperti sepatutnya, bukan hanya negara rugi tetapi ianya akan memberi ancaman nyawa anggota tentera laut kita.

Tindakan songsang dalam projek kapal selam Scorpene dan LCS melibatkan pihak atasan menteri kumpulan yang lebih kurang sama sahaja.

Adakah kita ingin jatuh ke dalam lubang yang sama dan disediakan oleh kumpulan yang sama berulang kali ?

Adakah kita rela ingin lihat nelayan, rakyat biasa dan anggota tentera laut kita menggadai nyawa di laut atas tindakan orang atasan yang berkuasa yang tidak bertanggungjawab?

Sehingga bila ini harus dibiarkan berulang seperti mimpi ngeri yang berterusan? Bangkitlah rakyat Malaysia dengan kesedaran yang baru.

Baca juga: Bayangkan jika RM6 bilion dibelanja pada nelayan, 20 ribu bot boleh dibeli untuk nelayan miskin

Baca juga: Siapa pengkhianat sebenar kepada orang Melayu?