Seorang lelaki yang dihadapkan ke mahkamah atas dakwaan menyamar sebagai inspektor polis bertindak kasar dengan menendang kamera petugas media sejurus keluar dari Mahkamah Sesyen hari ini.
Tertuduh yang ketika itu dalam perjalanan menuju ke Mahkamah Majistret cuba menendang jurugambar kerana tidak berpuas hati gambarnya dirakam.
Bagaimanapun, jurugambar dari akhbar tempatan itu dikatakan pantas mengelak dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Tertuduh, V Premantharan Pillai, 44, dihadapkan ke mahkamah atas empat pertuduhan menyamar sebagai polis termasuk satu pertuduhan membabitkan kerugian sebanyak RM100,000 tahun lalu.
Dia mengaku tidak bersalah ketika semua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Mohammad Khalid Ab Karim dan Majistret R Manomani.
Mengikut pertuduhan pertama, Premantharan didakwa memperdaya seorang wanita pada 24 dan 25 Februari 2021 antara jam 12 tengah hari hingga 5 petang dengan menyatakan bahawa dia boleh membebaskan suami wanita itu yang dipenjarakan membabitkan kes dadah.
Bagi pertuduhan kedua, sehari sebelum transaksi wang itu dilakukan tertuduh ke rumah mangsa yang berusia 53 tahun itu di Sungai Ara, Bayan Lepas sekitar jam 4.10 petang dan berpura-pura mengaku dirinya pegawai polis.
Hakim Mohammad Khalid memerintah tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berdekatan setiap bulan sehingga perbicaraan selesai.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret, tertuduh sekali lagi didakwa menyamar sebagai Inspektor Fahmi dari Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut dengan menipu seorang wanita berusia 33 di sebuah bank di Jalan Penang kira-kira pukul 9.55 malam pada 13 Februari 2021.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan dengan membawa hukuman penjara selama tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudiannya turut memerintahkan tertuduh membayar ikat jamin sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin dan tiada syarat tambahan dikenakan.
Mahkamah menetapkan 10 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula serta penyerahan dokumen selain turut membenarkan kesemua pertuduhan dibicarakan secara serentak.
Baca juga: Didakwa sekali lagi atas tuduhan rogol remaja – Hakim harap kes ustaz ini tidak disensasi
@wawanfood Tak cuba maka tak tahu. Rasai sendiri Sambal Garing Mata Biru keluaran kami. Pedas 3 minit di mulut.... #sambalikanbilis #sambalgaringbilis #ikanbilismatabirusabah #ikanbilismatabiru #ikanbilismatabirusabah #ikanbilismatabiru #ikanbilis #sambal ♬ Sunrise - Official Sound Studio