Malaysia Dateline

Lelaki sanggup belanja lebih RM100,000 demi kostum serigala

Kadang-kadang dalam hidup ini, ada beberapa kejadian yang berlaku di luar pemikiran kita, sekali gus mengundang rasa pelik.

Macam kisah seorang lelaki di Jepun, dia dilaporkan sanggup membelanjakan kira-kira tiga juta yen atau bersamaan RM101,171) untuk kostum serigala demi nak memenuhi impiannya ‘menjadi’ haiwan liar itu.

Kostum berkenaan dihasilkan Zeppet iaitu sebuah syarikat mengkhusus dalam pembuatan sut ultra-realistik.

“Disebabkan kecintaan saya terhadap haiwan sejak zaman kanak-kanak lagi dan melihat sut haiwan realistik yang muncul di kaca televisyen, jadi saya mengimpikan untuk menjadi seperti itu satu hari nanti.

“Pada sesi pemakaian kostum itu, saya kagum melihat perubahan diri saya di cermin. Ia adalah saat impian saya menjadi kenyataan.

“Ia juga mempunyai alat yang memudahkan seseorang memakai sut itu tanpa pertolongan. Ia secara tidak langsung menunjukkan pereka memberi perhatian teliti terhadap keselesaan pemakai,” demikian menurut pelanggan itu menerusi laman sesawang Zeppet.

Pelanggan tersebut amat berpuas hati dengan pembelian kostum serigala itu walaupun menelan kos yang tinggi berbanding kostum anjing Collie bernilai 2 juta yen (RM67,437).

Zeppet memaklumkan, pihaknya mengambil masa 50 hari untuk menyiapkan kostum khas seperti diminta pelanggannya.

Baca Juga: Tak puas hati wanita tak bawa anak melecur separuh badan ke hospital, rakan buat laporan polis