Malaysia Dateline

Lepas tular gambar air keruh, Pengarah Kesihatan Kelantan akui Hospital Machang alami masalah air sejak Isnin

Lepas tular gambar air paip keruh di Hospital Machang sejak semalam hari ini Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) mengaku masalah gangguan air sejak Isnin.

Siasatan awal mendapati Hospital Machang sudah mengalami gangguan bekalan air pada tangki utama hospital berkenaan sejak Isnin yang berpunca daripada kerosakan Loji Rawatan Air di Sungai Bagan Machang.

Pengarahnya, Datuk Dr Zaini Hussin berkata pihak Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) sudah menghantar bekalan air ke Hospital Machang bagi mengatasi masalah gangguan berkenaan dengan mengisi simpanan air di tangki simpanan utama hospital itu.

“Kita amat prihatin terhadap isu permasalahan air yang berlaku di Hospital Machang sebagaimana yang ditularkan di Facebook (FB) sejak semalam.

“Susulan daripada itu, bekalan air sudah kembali pulih pada sebelah petang semalam secara berperingkat dan kadar kekeruhan air juga semakin pulih,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Kelmarin, salah seorang warga net berkongsi gambar air paip keruh di wad kanak-kanak Hospital Machang di mana jururawat memberitahu ibu yang berada di situ langsung tidak mandi apatah lagi mahu mencebok anak-anak di wad itu.

“Air dalam wad kanak-kanak Hospital Machang. Jururawat cakap ibu-ibu (di situ) tak mandi langsung ( mungkin sebab air keruh ).

“Belum kira kencing berak budak, macam mana? Tandas di tempat letak kereta tu air ok,dalam kecemasan pun keruh tapi tak berkarat macam dalam wad. Bukan minta dikecam, hanya sekadar berkongsi,” kongsi warganet di FB kumpulan Warga Machang.

Dr Zaini turut menegaskan bahawa perkhidmatan dan pengurusan pesakit di dalam hospital itu tidak terganggu akibat kejadian permasalahan air yang ditularkan dalam media sosial.

“JKNK merakamkan kekesalan di atas kesulitan yang dihadapi dan berterima kasih atas tindakan segera yang diambil oleh pihak Hospital Machang, Perkhidmatan Sokongan Hospital (Redicara) dan AKSB yang mengambil tindakan segera bagi mengatasi gangguan air berkenaan.

“Pihak kami sentiasa berusaha dan mengambil langkah-langkah penambahbaikan bagi meningkatkan keselesaan serta kualiti penjagaan pesakit,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial mengatakan berlaku gangguan bekalan air di hospital berkenaan termasuk air keruh menyebabkan berlaku kesukaran dalam kalangan pesakit serta pelawat hospital terbabit.

Baca juga: Ahli Parlimen Australia tidak lupa asal usul berucap guna bahasa Melayu dalam sidang Parlimen

Baca juga:Kunci diri dalam bilik sebelum lahirkan anak, remaja dan anak ditemui sudah tidak bernyawa