Malaysia Dateline

Madani sebagai nilai, garis panduan bentuk negara bangsa

Kerangka ‘Madani’ yang berteraskan enam komponen holistik dan saling berkait menjadi nilai penting untuk dihayati serta dijadikan garis panduan dalam pembentukan negara bangsa. 

Pengarah Eksekutif Institut Darul Ehsan (IDE) Datuk Ismail Yusop berkata enam nilai itu – kemampanan, kesejahteraan, daya cipta dan inovasi, nilai hormat, keyakinan serta ihsandikupas dalam buku ‘Membangun Negara Madani: Visi dan Kerangka Dasar Reformasi’ yang merupakan hasil nukilan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.  

“Setiap Perdana Menteri mempunyai tema tersendiri yang dibawa dan bagi saya, apa yang diangkat oleh Datuk Seri Anwar adalah sebahagian rantaian dan proses untuk membina negara bangsa.

“Sebagai contoh, dalam ucapan tahun baharu Perdana Menteri memberi penegasan betapa pentingnya urus tadbir dan tata kelola negara yang melibatkan semua peringkat termasuk rakyat.

“… dan kerana itu untuk bergerak ke hadapan, kita memerlukan falsafah yang memberi kerangka kepada semua pihak, daripada pimpinan dan rakyat untuk bersama-sama melakukan perubahan,” katanya dalam rancangan Ruang Bicara terbitan Bernama TV malam ini. 

Mengambil aspek ‘ihsan,’ Ismail berkata kehidupan bermasyarakat di Malaysia dengan kepelbagaian agama, bangsa dan budaya memerlukan setiap individu untuk mempamerkan sikap saling menghormati melalui nilai yang menyatukan sekali gus mengelak berlakunya prejudis serta salah faham. 

“Selain itu, antara yang disentuh dalam buku ini seperti rasuah adalah masalah yang paling besar dan bukan mudah untuk dileraikan. Kalau bercakap soal rasuah, ia berlaku secara sistemik, itu ayat yang Datuk Seri guna sehingga orang tidak lagi rasa bersalah dan menganggap ia perkara biasa.

“Ia memerlukan satu muhasabah diri, pendekatan agresif dan komprehensif dalam membina pasukan di peringkat kepimpinan penjawat awam dan rakyat yang sepatutnya menerima khidmat daripada kerajaan yang ada,” katanya. 

Ismail berkata buku itu, yang diterbitkan IDE dan bakal dilancarkan oleh Perdana Menteri pada Khamis ini, antaranya menghimpunkan pengalaman politik serta hasil pembacaan Anwar selama empat dekad yang bermula dari zaman beliau bergelar mahasiswa hingga memimpin gerakan reformasi.

Beliau berpendapat setiap masyarakat perlu mendapatkan buku itu kerana kerangka Madani mampu membentuk masyarakat demokratik selain menjadi kekuatan yang berupaya memulihkan kedudukan Malaysia sebagai negara cemerlang melalui proses reformasi.

— BERNAMA

Baca juga : Hampir jadi lauk, dua lelaki panik selepas terjatuh semasa pancing ikan jerung