Mahasiswa perlu tahu tablet percuma bukan milik kekal, kena pulangkan lepas tamat belajar.
Baru-baru ini kerajaan mengumumkan program PerantiSiswa di mana peranti pintar percuma akan diberikan kepada para pelajar dari golongan B40 dalam memudahkan urusan pembelajaran.
Memetik Bernama, permohonan untuk PerantiSiswa ini akan dibuka mulai 15 April ini, dan peranti akan diedarkan kepada pelajar mulai minggu kedua Jun tahun ini.
Bagaimanapun apa yang mahasiswa perlu tahu, peranti yang dipinjamkan itu bukan hak milik pelajar seperti bantuan komputer riba untuk pelajar-pelajar sekolah.
Menurut Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Tan Sri Annuar Musa, peranti pintar berkenaan boleh digunakan selagi mana para pelajar berada di pusat pengajian.
Setelah tamat belajar, mereka perlu serahkan semula peranti berkenaan kepada pusat pengajian.
“Ia berdasarkan konsep kebolehgunaan peranti percuma selama tempoh mereka menjadi pelajar dan ia tidak boleh pindah milik, tidak boleh dijual, tidak boleh dihilangkan.
“selagi mereka masih belajar, peranti itu akan dikira masih berdaftar sebagai milik kerajaan.
“Secara kasar, ia berfungsi seperti penawaran Skim Pinjaman Buku Teks, di mana buku yang dipinjamkan perlu dipulangkan apabila selesai sesuatu tahap pengajian,” katanya.
Untuk rekod, melalui program berkenaan, seramai 400,000 pelajar seluruh negara dijangka akan menerima manfaat.
Peranti yang akan diagihkan ini juga mempunyai jaminan, termasuk jika berlaku kerosakan, pelajar boleh kembalikan untuk diganti baharu. Maklumat lanjut berkenaan program ini dijangka akan dikongsikan selepas 15 April ini.
Mengikut perkongsian awal sebelum ini, tablet ini dijangka akan hadir dengan saiz minima 10.1-inci, dijana memori sekurang-kurangnya 4GB RAM, selain turut hadir dengan papan kekunci serta stylus.
Baca juga: Hakim AS dah ada tapi kenapa kes 1MDB Roger Ng masih libatkan juri? Peguam perjelas sebabnya
Baca juga: Wanita bunuh suami ketika masih di bawah umur terlepas hukuman gantung