Malaysia Dateline

Mahu jual ayam goreng berempah, ini 16 kos tersembunyi wajib diteliti

Mahu jual ayam goreng berempah, bukan semudah potong seekor ayam mentah dipotong 14 bahagian seperti cadang seorang doktor perubatan, Khairul Faizie.

Tanyalah peniaga makanan sendiri bagaimana mereka berdepan dengan banyak kos ditambah dengan kegagalan kerajaan mengawal kenaikan melampau minyak masak dan beberapa barangan makanan.

Ikuti pendapat individu dikenali sebagai YEOP OHSEM yang merupakan pemilik gerai, Chor Nasi Kukus Pandan di Seri Iskandar, Perak.

Tuan punya kedai Honey Baking Supplies di Seri Manjung itu menyenaraikan 16 kos tersembunyi yang wajib diteliti oleh mana-mana pihak sebelum ingin menceburi bidang perniagaan makanan:

Memandangkan saya berniaga gerai nasi kukus ayam berempah, saya nak kongsi juga kos-kos tersembunyi yang perlu diambil kira jika nak mula berniaga:

  1. Kos jualan tidak habis dijual

Berniaga 2.5 jam, belum tentu boleh habis jual semua. Saya berniaga 7.5 jam baru boleh jual 70 bungkus. Kalau hujan, lagilah teruk. Yang tidak habis makan sendiri atau sedekah kepada orang, kos tetap kena tolak dari keuntungan.

  1. Ayam potong 14 terlalu kecil

Kalau ayam RM20 bermakna ayam itu berat dalam 2 kg. Ayam 2 kg boleh potong 10 saja maksimum, kalau tidak akan mengundang sumpah seranah dari pelanggan, sudahlah jual RM4.50. Saya jual ayam potong empat, RM6 seketul.

  1. Kos minyak masak

Kalau boleh dapat minyak masak paket sekalipun, akan pakai sehari 4 paket minyak untuk goreng ayam. 4 kg x RM2.50 = RM10.

Kalau tak dapat cari minyak paket, bersedialah untuk kos yang gila besar.

  1. Kos gas

Ini ramai ambil mudah. Hakikatnya kos ini besar dan kerap kena beli. Seminggu saya pakai 4 tong gas untuk jualan di gerai 7.5 jam dan masak kuah di rumah 3.5 jam. Ayam goreng berempah ni api kena kuat kalau tidak ayam tidak masak sampai dalam.

  1. Kos beras

Saya pakai 8 kg beras untuk jualan 70 bungkus. Itu beras ya, bukan nasi. Kalau nak dijadikan nasi ada kos-kos tambahan.

  1. Kos bahan sampingan

Contoh, kos untuk kuah kari kaki ayam, sambal belacan, kos sayur, rempah perapan. Kos-kos ini besar sebab cili padi dan cili masak sekarang harganya bukan murah. Sampai RM15 sekilo.

Belacan lagi, herba campur, buah keras, serai, lengkuas, kayu manis, bunga lawang, tomato, cili kering, serbuk dan daun kari, pandan dan lain-lain.

  1. Kos pembungkusan

Kos untuk bungkus barang jualan. Kertas minyak gred B, plastik bungkus nasi 15×15, plastik 5×7 bungkus kuah dan sambal, plastik singlet pelbagai saiz.

  1. Kos santan

Kalau berdasarkan kiraan tuan tanah, jualan ialah 70 bungkus sehari. Maka santan sehari kena pakai 1 kg untuk kuah kari. RM7 – RM10 sekilo.

  1. Kos pekerja

Pengalaman saya berniaga 7.5 jam jualan 70 bungkus memang memerlukan pekerja sebab kita kena goreng dan bungkus segera. Pelanggan tidak mahu makanan sejuk. Kalau 2.5 jam nak jual 70 bungkus, saya jamin kena pakai lebih dari 3 orang (termasuk tauke).

  1. Kos pengangkutan

Kos minyak untuk ulang alik ke tapak berniaga, kos pusing merata kedai beli barang mentah yang murah, kos meronda sebab nak cari minyak paket. Kos ini bukan sedikit. Saya jamin tidak boleh nak naik motor sebab banyak barang yang perlu dibawa.

  1. Kos alatan berniaga

Saya berniaga gerai tepi jalan, kos beli alatan berniaga di tapak dan alatan berniaga di rumah mencecah RM10,000.

Blender heavy duty pun dah RM500 untuk jenama Butterfly. Saya pakai brand Khind murah sedikit tetapi baru pakai tiga bulan dah bermasah. Mujur beli baru adalah warranty. Tapi kena beli dua untuk back up.

  1. Kos storan

Kalau berniaga pada skala jualan 70 bungkus sehari, kita takkan boleh muat dah pakai chest freezer 120 liter, pakai peti ais rumah.

Jadi, pakai freezer besar, peti ais kena beli asing untuk simpan stok bahan mentah kalau tak nak keluar setiap hari berbelanja. Freezer besar RM800++, peti ais RM1,000 saiz sederhana. Nak jimat beli yang sudah terpakait kena fikir jugak kos membaiki. Kos storan ini akan datang sekali bersama kos elektrik ye.

  1. Kos kesihatan

Cucuk tifoid RM70 seorang. Kalau dah tiga orang kiralah sendiri. Pekerja yang kita cucuk itu pula belum tentu kekal nak kerja dengan kita.

  1. Kos gaji

Gaji pekerja kalau setakat offer RM50 sehari kerja gerai, memang kena bersainglah dengan kerja rider yang lebih menarik dalam kalangan budak-budak muda. Gaji tauke jangan lupa kira ya. Persediaannya bermula awal pagi dari beli ayam dan bahan-bahan mentah, cuci ayam dan lain-lain, masak kari, berniaga, cuci tapak dan cuci peralatan.

  1. Kos risiko

Risiko ini boleh datang dari sudut authority, sudut cuaca, dan juga sudut mistik. PBT, jabatan kesihatan, polis, imigresen (kalau pakai pembantu gerai pekerja asing) dan lain-lain. Cuaca ribut boleh hancurkan khemah kita. Sihir, santau dan khianat juga boleh jadi risiko yang paling besar pakai kos.

  1. Kos tapak

Tapak jarang dapat percuma walaupun berniaga tepi jalan, mesti nak kena bayar, purata RM5 hingga RM10 sehari. Kalau dalam kampung bolehlah percuma.

Nak tempat ramai orang dalam pekan mesti dah kena bayar, sama ada pada PBT atau pada gerai yang kita tumpang. Tapak itu pun nak kena dekat dengan air untuk mencuci, kalau berniaga malam ada baik kalau dapat tarik elektrik sekali.

Untuk yang menyewa kedai lebih parah, sebab selain sewa, akan kena bayar lesen PBT, lesen papan tanda berlampu, kesihatan (penapis minyak), elektrik tarif komersial, IWK dan lain-lain.

Tambahan:

Kalau nak ada untung lebih, kena buka meja untuk dine in dan jual air. Ini semua tambahan kos ye, tapi boleh menjana keuntungan tambahan.

Kepada yang baru nak mencuba, ambil kira segala kos di atas sebelum anda pertaruhkan baki simpanan anda untuk mula. Pergi bersembang dengan orang yang dah berniaga bukan pergi masuk kelas ‘bisnes coaching’.

Penafian:

*Saya menulis untuk menambah maklumat, bukan untuk merendah-rendahkan.

*Saya bukan sifu/coach untuk bisnes, saya cuma ada pengalaman yang boleh dikongsi untuk manfaat bersama. Saya tiada pengaruh pun, page FB gerai saya Chor Nasi Kukus Pandan – Seri Iskandar dan kedai saya Honey Baking Supplies – Seri Manjung pun tak ada ramai orang nak like.

Terima kasih semua yang mendoakan saya, saya terharu. Selamat maju jaya untuk semua.

Baca juga Harga barang harian makin melambung, menteri ramai buat apa?

Baca juga Lelaki sebak disambut orang ramai sebaik tiba di Mekah, jalan kaki 10 bulan untuk tunaikan haji