Malaysia Dateline

Makan banyak masa dan petrol, penghuni kongsi pengalaman tinggal di rumah bertingkat tinggi

Tinggal di apartmen berkepadatan tinggi dilihat makan banyak masa dan minyak kereta hanya untuk ke petak parkir saja.

Itu reaksi umum warganet yang muncul selepas melihat gambar sebuah kompleks apartmen servis di Sungai Besi, Kuala Lumpur.

“Pengalaman saya duduk kondominium 32 tingkat memang makan masa dan minyak kereta. 15 minit nak ke parking dan tunggu lif sampai.

“Kalau waktu puncak lagi lama,” cerita Syafiq Lazim.

Perkongsian beliau itu merujuk pada satu hantaran di Facebook yang memaparkan tersergam gugusan Razak City Residences dengan kesemuanya memiliki 5,748 unit.

Kompleks kediaman padat yang difahamkan terdiri daripada 12 blok dengan setiap blok mempunyai 48 tingkat itu sedang dibuka untuk jualan. Setiap aras pula dikatakan mempunyai 12 unit berserta enam lif di setiap blok.

Bagi Hakem Mokhtar, beliau sukar membayangkan bagaimana tahap kelancaran urusan seharian di kompleks apartmen servis itu jika kesemua unit penuh terutama pada waktu puncak.

“Kalau dah penuh duduk situ, bagaimana lif masa pergi kerja, parking kereta sewaktu balik kerja, jalan sesak, kes kecemasan. Padat sungguh,” katanya.

Terdapat juga kalangan netizen mempersoal bagaimana projek berkepadatan tinggi itu boleh mendapat kelulusan.

“Kelulusan boleh dapat cuma bayar development charge untuk setiap pertambahan,” komen balas warganet lain pula.

Tidak kurang juga yang berseloroh seperti Nadiah Miseran yang menulis, “Ni kalau anak saya tertinggal buku, saya suruh ponteng saja terus” manakala Azri Muhammad pula berkata, “Boleh buat filem Raid versi Malaysia”.

Malah, ada yang secara bergurau berkata, sesiapa yang rajin menjual nasi bungkus dari pintu ke pintu bermula dari aras atas, insya-Allah sampai ke aras bawah sudah bergelar jutawan.

Dalam masa sama, rumah berpuluh tingkat juga dianggap mendatangkan cabaran kepada penghantar makanan.

“Ni kalau lif rosak, order Food Panda, sampai atas, makanan dah basi,” usik Zaim Lorenzo pula.

Semakan Malaysia Dateline mendapati Garis Panduan Perancangan Perumahan menetapkan bahawa kepadatan unit pangsapuri untuk kesemua empat kategori kos – rendah, sederhana rendah, sederhana dan tinggi – dalam kawasan pembangunan berorientasikan transit (TOD) dan zon perancangan transit mengikut piawaian maksimum adalah 90 unit per ekar.

Baca juga Bukan sekali Najib sumpah laknat, mufti pun dah tegaskan itu tiada dalam perundangan Islam

Baca juga Hangat bercinta kongsi gambar lucah, video bogel: Malu besar sampai berhenti universiti akibat dendam bekas teman wanita