Malaysia Dateline

Malaysia rugi RM13 bilion setahun – 18.4 juta penduduk hidap diabetes, hipertensi, kolesterol

Dianggarkan sebanyak RM13 bilion kerugian dicatatkan setiap tahun akibat 18.4 juta pen­duduk menghidap pe­nyakit tidak berjangkit (NCD) uta­ma iaitu diabetes, hipertensi dan kolesterol.

Jumlah kerugian akibat kehilangan produktiviti itu tidak termasuk per­belanjaan kerajaan seba­nyak RM9.65 bilion bagi tujuan rawatan dan pengurusan NCD iaitu hampir 40 peratus daripada jumlah perbelanjaan untuk kesihatan.

Kira-kira 3.9 juta iaitu 18.3 peratus penduduk dewasa menghidap diabetes manakala 6.4 juta (30 peratus) mengalami hipertensi dan 8.1 juta (38.1 peratus) pula berdepan masalah kolesterol tinggi, kata Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr. Norhayati Rusli.

Lapor Utusan Malaysia, Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) menunjukkan seramai 1.7 juta penduduk berumur 18 tahun ke atas menghidap ketiga-tiga penyakit NCD itu.

Seramai 1.7 juta penduduk berumur 18 tahun ke atas menghidap ketiga-tiga penyakit NCD.

Sementara itu, 3.4 juta penduduk dewasa menghidap sekurang-kurangnya dua penyakit NCD utama dan trend semasa menunjukkan peningkatan prevalen NCD yang membimbangkan.

Menurut Dr. Norhayati, NCD juga punca utama kematian di dunia dan di Malaysia yang mana ia menyumbang kepada kira-kira 73 peratus daripada jumlah kematian pada 2019.

Jelasnya, di Malaysia, sebanyak tujuh daripada 10 punca utama kematian adalah disebabkan NCD dan penyakit jantung menjadi pembunuh nombor satu penduduk di negara ini dengan menyumbang 17 peratus daripada jumlah keseluruhan kematian pada tahun 2020.

Baca juga Nenek lesap RM140,000 akibat bercinta dengan ‘angkasawan’

Baca juga Hempas murid hingga patah kaki, guru KAFA didakwa