Malaysia Dateline

Mana polisi lindungi kanak-kanak, tanya ADUN pada Rina Harun

Sekiranya Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang diketuai Datuk Seri Rina Harun tidak mampu menjalankan tanggungjawab beliau dengan baik dan lebih mementingkan reputasi politik sahaja, adalah lebih baik ia meletakkan jawatan.

Rina beserta agensi-agensi berkaitan sewajarnys mengambil tindakan tegas dan drastik terhadap pelaku penderaan seksual kanak-kanak selain merangka langkah-langkah yang lebih berkesan untuk melindungi kanak-kanak daripada terus menjadi mangsa.

Adun Seri Delima, Syerleena Abdul Rashid berkata, adalah menghairankan bagaimana peningkatan kes penderaan seksual kanak-kanak saban hari masih tidak mengundang sebarang reaksi drastik daripada Rina selaku Menteri yang menerajui portfolio kementerian tersebut.

Syerleena Abdul Rashid, Adun Seri Delima merangkap AJK Kebangsaan Wanita DAP Pusat.

“Angka kes penderaan kanak-kanak di Pulau Pinang sebagai contoh amat membimbangkan apabila kes di Seberang Perai adalah dua kali ganda bilangan kes di Pulau Pinang. Malahan lebih 70 peratus daripadanya melibatkan kanak-kanak berusia antara 13 hingga 17 tahun. Manakala majoriti kes cabul dan serangan seksual melibatkan kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah.

“Menurut data pihak polis, bagi separuh pertama tahun 2020, sejumlah 1721 kes kesalahan seksual terhadap kanak-kanak telah berlaku. Ini bererti pihak polis menerima purata sebanyak 286 laporan setiap bulan dan 28 peratus daripada kes-kes yang dilaporkan melibatkan kanak-kanak di bawah usia 18 tahun. Angka ini juga telah meningkat sebanyak 50 peratus pada 2021.

“Apakah yang sedang menjadi tumpuan kementerian beliau sehinggakan sebarang langkah untuk memperkukuhkan kajian tentang dasar-dasar yang melindungi kanak-kanak kelihatan begitu perlahan seakan-akan tidak bergerak langsung. Apakah Rina merasakan bahawa keselamatan kanak-kanak bukan keutamaan beiau?, “soal Syerleena yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa Kebangsaan Wanita DAP.

Tambah beliau, kerajaan Persekutuan sepatutnya mengambil inisiatif bagi membangunkan dasar-dasar yang dapat melindungi kanak-kanak, menghukum pesalah, membangunkan persekitaran dan institusi yang selamat serta merangka kursus-kursus kaunselling dan psikologi bagi membolehkan mangsa-mangsa kembali menjalani kehidupan dengan lebih tenang dan jauh dari ketakutan.

Baca juga: Suami hadiahkan emas, Ifa Raziah mahu jadikan ia pelaburan masa depan

Baca juga: Halang hobi anak, ibu bapa bertindak bakar koleksi gambar artis K-pop- Adakah ia keterlaluan?