Malaysia Dateline

Mana satu patut buat dulu, buka puasa ke solat maghrib? Ini jawapan bekas mufti

Mana satu patut buat dulu, buka puasa ke solat maghrib? Ini jawapan Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri yang dikongsikan untuk pencerahan kita bersama. Kita selalu tertanya, mana yang patut kita dahulukan? Tidak mengapa ke kalau kita makan dulu baru solat?

Mengikut pandangan Dr Zulkifli, seseorang itu boleh menyelesaikan makan berbuka terlebih dahulu sekiranya juadah dan makanan untuk berbuka puasa telah pun dihidangkan.

“Setelah itu, barulah menunaikan solat Maghrib. Hal ini bertujuan agar jiwanya lebih tenang dan fikirannya tidak terganggu semasa mendirikan solat Maghrib.

“Bagaimanapun, berdasarkan persoalan di atas juga, suasana masjid pada hari ini dilihat lebih suka mengambil jalan untuk berbuka dengan juadah ringan terlebih dahulu. Kami ingin nyatakan bahawa hal tersebut tidaklah bercanggah dengan syariat,” katanya menerusi portal Maktabah Al-Bakri, baru-baru ini.

Nabi Muhammad berbuka dahulu dengan kurma

Malah katanya, solat Maghrib dahulu adalah lebih afdal kerana dapat mengamalkan sunnah berbuka puasa segera, di samping dapat menunaikan solat berjemaah dalam tempoh yang awal.

Zulkifli berkata, berdasarkan hadis sahih, dapat difahami antara amalan sunnah adalah dengan menyegerakan berbuka puasa sebaik sahaja telah dipastikan bahawa matahari telah terbenam.

“Selain itu, disebut juga dalam satu riwayat lain, bahawa Rasulullah SAW berbuka puasa dengan beberapa biji ruthab (kurma segar) kemudian Baginda mendirikan solat,” katanya.

Baca juga: Selepas tular isu nasi beriani mahal, roti john hangus pula buat netizen tambah bengang

Baca juga: Serra korbankan diri demi anak-anak