Mandat lima tahun jaga kebajikan rakyat, kekang projek lombong pasir Melaka

Oleh ARIF ATAN

Calon muda Pakatan Harapan (PH) dari AMANAH, Ustaz Muhammad Khomeini Kamal menyeru kepada seluruh pemilih berdaftar untuk keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 November ini.

Beliau berkata, mandat yang diberi kepada PH penting untuk memastikan polisi kerajaan negeri yang digubal untuk lima tahun akan datang menjaga kepentingan rakyat dan kelestarian alam sekitar.

“Ramai rakyat yang keliru PRN (Melaka) ini hanya setahun (mandat). PRN ini (untuk mandat) selama lima tahun.

“Selama lima tahun ini banyak polisi besar yang boleh dilaksanakan termasuk hal berkaitan pengurangan cukai dan kebajikan rakyat.

“PRN ini juga penting dalam usaha mengekang projek-projek pasir yang memberi kesan besar kepada rakyat Melaka,” katanya dipetik dari saluran YouTube, Jeming Hassan.

Ustaz Muhammad yang merupakan Ketua Pemuda AMANAH Melaka sudah berkhidmat kepada masyarakat setempat sejak 22 bulan pentadbiran kerajaan negeri PH sebagai Penyelaras AMANAH DUN Serkam.

“Saya menyeru kepada seluruh rakyat Melaka agar keluar mengundi pada 20 November ini dengan memilih PH.

“PRN kali ini penting demi kestabilan negeri dan memastikan mandat yang diberi selama lima tahun ini dapat menyambung apa yang PH laksanakan 22 bulan sebelum ini dan meneruskan apa yang tergendala kerana Langkah Sheraton,” tambahnya.

Timbalan Ketua AMANAH Jasin itu juga berentap dengan tiga pencabarnya ialah Datuk Zaidi Attan (BN – Umno), Ahmad Bilal Rahudin (PN – Pas) dan calon Bebas, Norazlanshah Hazali.

N.26 Serkam mempunyai 15,977 pemilih berdaftar. Pada PRU-14, Zaidi memenangi Dun Serkam dengan majoriti 2,737 undi.

Kelmarin, Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari menegaskan PH tidak akan memberi kelulusan membabitkan sebarang aktiviti penjualan pasir sekiranya diberi kepercayaan kembali mentadbir Melaka selepas PRN kali ini.

Menurutnya yang juga calon DUN Bukit Katil, tindakan tersebut sudah pun dibuat sepanjang tempoh 22 bulan PH mentadbir selepas PRU-14.

Adly yang juga bekas Ketua Menteri berkata, PH juga akan menilai semula kesesuaian projek Melaka Waterfront Economic Zone (M-Wez) kerana membabitkan kawasan tambakan laut yang luas.

“M-Wez sebenarnya harus dinilai semula secara keseluruhan kerana kita tahu bahawa kita mempunyai pesisir pantai yang cukup strategik.

“Secara dasar ia harus dinilai semula secara keseluruhan dan perlu memberikan impak positif kepada negeri, tetapi tidak boleh beri kesan kepada alam sekitar yang terlalu besar,” katanya pada sidang media di Graha Amanah, Bukit Katil, 14 November lalu.

PRN Melaka yang melibatkan 28 kerusi DUN menyaksikan pertembungan enam penjuru di tiga kerusi DUN, lima penjuru (5), empat penjuru (9) dan tiga penjuru (11).