Malaysia Dateline

“Mari berhealthy Malaysia” – Cikgu Vin nasihat jangan jadi perosak bahasa kebangsaan

Kempen publisiti sebuah pengeluar sabun anti bakteria yang mengajak orang ramai menyertai nyanyian “Mari berhealthy Malaysia” mengundang teguran banyak pihak termasuk Cikgu Vin.

Guru Bahasa Melayu berkenaan menasihatkan agar tidak menjadi perosak bahasa kebangsaan meskipun mahu lebih kreatif.

“Janganlah sampai merosakkan bahasa kebangsaan kita iaitu bahasa Melayu.

“Saya tahu motif kamu (pengeluar sabun anti bakteria) untuk membuat dengan cara yang seronok tapi kita kena ingat jangan kita jadi perosak kepada bahasa kebangsaan.

“Sepatutnya, kita memartabatkan penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat Malaysia,” tegasnya menerusi akaun TikTok beliau, @cikguvin ketika diminta mengulas penggunaan bahasa dalam iklan promosi itu.

Beliau yang mempunyai lebih 32,000 pengikut berkata, penggunaan bahasa Melayu yang salah sebenarnya memberi pengaruh buruk terhadap penulisan murid-murid di sekolah.

Menurutnya, ada murid yang membina ayat dengan bercampur perkataan bahasa Inggeris dan bahasa pasar seperti “mama” bukannya “ibu” atau “emak” selain menulis “cer” untuk cuba.

“Orang yang ada pengaruh tinggi kalau sebarkan bahasa yang tidak betul maka impaknya sangat besar dan boleh mempengaruhi murid dan generasi akan datang.

“Ia akan jadi seperti ajaran sesat,” tegasnya lagi.

Reaksi Cikgu Vin itu susulan hebahan mengenai program duet lagu Berhealthy Lifebuoy dengan tawaran hadiah sebanyak RM30,000.

“Jom nyanyi lagu ini dalam 137 loghat dan bahasa di Malaysia, bersama!

Hepi dan Riang Lifebuoy!” tulis iklan yang tidak menulis dengan ejaan betul “happy” seperti tersebar di TikTok itu.

Sehubungan itu, ramai juga pengguna TikTok mencemuh penggunaan “berhealthy” yang digunakan syarikat bahan pencuci itu.

“Imbuhan ‘ber-‘ digabungkan dengan perkataan dalam bahasa Inggeris. Punah!” kata seorang warganet.

Baca juga Peniaga Langkawi jangan ‘ketuk harga’ melampau – Ini nasihat orang ramai yang lebih minat melancong ke Thailand

Baca juga Netizen kagum kecekapan pemandu bas, ‘power driver’ dia!