Malaysia Dateline

Peniaga Langkawi jangan ‘ketuk harga’ melampau – Ini nasihat orang ramai yang lebih minat melancong ke Thailand

Rakyat Malaysia dilihat makin tak minat melancong ke Langkawi sebaliknya berduyun-duyun ke Thailand kerana sikap peniaga di pusat peranginan di Kedah itu yang suka ‘ketuk harga’ melampau.

Menjunamnya kunjungan pelancong terutama penduduk tempatan sehingga 48.9 peratus sepanjang cuti Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia lepas disahkan pihak Persatuan Pelancongan Langkawi (LTA).

Malah, orang ramai yang telah melancong ke Thailand juga membandingkan harga penginapan dan makanan yang jauh lebih rendah dan banyak pilihan di negara Gajah Putih itu berbanding Langkawi.

Ahmad Che Yaacob contohnya, antara ribuan rakyat Malaysia yang telah memilih untuk bercuti bersama keluarganya nun di Hatyai, Thailand baru-baru ini.

Menurutnya, selain harga hotel yang murah dan makanan yang pelbagai jenis dengan harga yang murah, di Thailand juga terdapat banyak tarikan pelancongan.

“Bandar yang bersih walaupun tiada tong sampah, ada keunikan seperti Tuk Tuk, street food, dan sebagainya.

“Tiada masalah bahasa kerana ramai penjual adalah masyarakat Melayu Pattani,” jelasnya.

Hal sama dibangkitkan Syamsul Sy yang berkata, bagi keluarga besar, faktor perbelanjaan sangat penting diberi perhatian dan Thailand memenuhi kriteria sebagai destinasi pelancongan yang lebih murah lagi berbaloi berbanding Langkawi.

Sementara itu, Haffiz Jamal pula menulis, “Orang pilih Thailand sebab lagi murah, makan pun murah. Langkawi siakap pun RM1,000” manakala Azrie Hosaini berkata, “Makan steamboat seafood sampai nak pengsan pun satu kepala baru RM30. Kalau di Langkawi cubalah makan… .”

Steamboat makan siakap 1 kepala RM35 makan sampai puas. Udang galah makan 1 baldi baru RM35 sahaja. Saya baru balik dari Thailand,” kongsi Mohd Hafis Salim pula.

Sehubungan itu, orang ramai menggesa kerajaan melaksanakan usaha untuk menarik kembali pelancong tempatan bukannya hanya berharap orang ramai datang bergolek.

“Dah tahu ramai orang pilih Thailand dari Langkawi, kerajaan kena buat sesuatu untuk buat Langkawi lebih menarik.

“Kita hidup dalam persaingan terbuka. Jika awak rasa kurang sambutan, buatlah sesuatu!” tegas Firdaus Ibrahim.

Baca juga Sampai sekarang tiada reformasi struktur kurangkan kesan ringgit jatuh, patut dah bincang dengan negara alternatif import makanan

Baca juga Pembayaran Fasa 3 BKM bermula 20 September