Malaysia Dateline

Masjid di Johor benarkan jemaah rapatkan saf berkuat kuasa hari ini

Jemaah masjid dan surau di negeri Johor kini dibenarkan untuk merapatkan saf mereka bagi aktiviti solat berjemaah berkuat kuasa hari ini, 13 Jun.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, prosedur operasi standard (SOP) pelaksanaan solat berjemaah itu mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sebagaimana peruntukan Fasal 57(A) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor 1895 dan Seksyen 6 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Johor) 2003.

Bagaimanapun, jemaah yang hadir masih dinasihatkan untuk membawa sejadah mereka sendiri.

“Aktiviti mengimarahkan masjid dan solat jemaah di masjid serta surau di seluruh negeri ini dibenarkan dengan cara merapatkan saf.

“Namun, pelitup muka masih dikekalkan manakala jemaah tidak digalakkan bersalaman. Tiada pemeriksaan suhu badan dan tiada had umur untuk hadir ke masjid dan surau,” katanya dalam sidang media di Pusat Islam Iskandar hari ini.

Pada 28 Mac lalu, media melaporkan Johor membenarkan pelaksanaan solat berjemaah di masjid dan surau dengan cara merapatkan sejadah tanpa bersentuhan antara jemaah dalam fasa peralihan endemik.

Bagaimanapun, ketika itu jemaah hendaklah membawa sejadah sendiri berukuran sekurang-kurangnya satu meter panjang dan 0.6 meter lebar serta lengkap dua dos suntikan vaksin.

Baca juga: Gara-gara guna penyodok, Menteri Belia dan Sukan diminta ambil tahu soal pengurusan padang

Baca juga: JPJ gesa pemegang lesen perbaharui lesen memandu sebelum 30 Jun