Malaysia Dateline

Mat Kilau membuka mata orang Melayu erti heroism sebenar yang semakin pupus hari ini

Dalam suasana politik dan ekonomi yang suram hari ini filem Mat Kilau yang menjadi fenomena telah membuka mata orang Melayu erti heroism sebenar yang semakin pupus maknanya dalam kepimpinan politik Melayu hari ini.

Persembahan Mat Kilau dengan sedikit sentuhan seni dan karya sutradara berkesan, sosok tubuh ‘pemberontak penjajah Inggeris kini jadi wira orang Melayu.

Selain filem ini adalah hasil sebuah karya seni, saya berkeyakinan penuh bahawa suasana malap dan kelam kepimpinan politik Melayu/Islam di luar panggung menyebabkan filem ini disukai ramai.

Orang Melayu yang menontoton filem ini seolah berasa terisi dengan gaya kepimpinan Mat Kilau yang terbentuk atas heroism yang ideal dan jujur membela bangsanya. Filem Mat Kilau semacam satu wahana yang menghimpunkan perasaan dan harapan orang Melayu kepada suasana kepimpinan yang mereka harapkan dan nantikan.

Saya melihat Mat Kilau mewakili satu simbol keunggulan mengangkat martabat dan maruah bangsa yang enggan tunduk kepada kezaliman dan penindasan. Malah Mat Kilau juga membantah sikap bisu bangsanya dan golongan atasan yang terlalu bersiyasah dengan berkompromi bersama Inggeris.

Mat Kilau membuka mata orang Melayu erti heroism sebenar yang semakin pupus hari ini
Filem Mat Kilau sudah jadi fenomena

Pemberontakan Mat Kilau bukan sahaja terhadap penjajah tetapi kepada bangsanya dan kepimpinan elit yang dilihatnya tidak amanah kepada wasiat bangsa dan watannya. Mesej ini menggamit imaginasi penonton dan secara spontan mereka membuat perbandingan dengan kepimpinan Melayu di luar panggung dan mendapati jurang yang lebar dari heroism yang dipaparkan oleh Mat Kilau. Penonton merasa puas seketika dalam panggung tetapi kecewa di luar panggung!

Saya melihat kekecewaan di luar panggung sangat ketara kerana definisi heroism menjadi songsang. Begitu juga kelompok elitis politik Melayu mengkhianati wasiat Mat Kilau apabila mereka mengganti kezaliman British dengan merompak harta rakyat dengan cara terhormat. Kedudukan bukan lagi jadi wasilah untuk membela anak bangsa tetapi kedudukan adalah matlamat untuk mengkayakan diri dan kelompoknya.

Barang diingatkan bahawa filem Mat Kilau muncul di celah ketidakstabilan politik dan keruntuhan nilai dan maruah bangsa gara-gara kepimpinan politik Melayu yang rakus dan berjuang untuk melepaskan diri dari sabitan jenayah rasuah terbesar negara. Orang Melayu menyaksikan semua ini secara terpaksa dan jadi muak dengan kepimpinan Melayu yang ada malah mereka hilang kepercayaan terhadap orang politik.

Betapa songsangnya makna hero dalam realiti hari ini apabila orang Melayu mengagungkan perasuah yang terbukti sabit bersalah dengan gelaran Bossku! Apa Malu Bossku? Langkah Sheraton yang sarat dengan pembelotan erti kesetiaan dan mandat rakyat diceroboh tanpa rasa bersalah atas nama Melayu! Betapa atas nama ‘Melayu’ diwajarkan ‘melompat ke sana sini’ walhal semuanya demi menjamin satu kedudukan peribadi dan menikmati pangkat yang ditawarkan sebagai harga melompat.

Tema Mat Kilau adalah perihal Maruah, bagaimana maruah bangsa hendak dibela jikalau maruah diri mudah dijual beli dan sedia untuk ditawar-menawar? Tidakkah orang Melayu rasa ditipu oleh kepimpinan Melayu yang berdegar-degar melaungkan demi Melayu tetapi akhirnya demi aku dan demi hendak cari makan sehingga sanggup menjual mandat rakyat? Benar kata orang tua-tua “Ayam jantan berkokok-tapi ekor penuh dengan tahi!”

Filem Mat Kilau mendedahkan kegagalan hari ini model payungan (patronage) dari kepimpinan Melayu. Kegersangan kepimpinan bermoral adalah kerana sistem payungan membentuk kepimpinan Melayu yang perlu berterusan ikat kesetiaan umat dengan wang ringgit. Untuk berbuat demikian doktrin disebalik model ini ialah “Cash is King”. Filem Mat Kilau merentap wajah sebenar kepimpinan Melayu hari ini, hilang maruah dan mendidik anak bangsa menyokong kebobrokan akhlak dan menyucikannya atas nama Melayu/Islam.

Kepimpinan Melayu hari ini perlu mula dengan langkah mengakui kegagalan kita selama ini kerana sistem payungan yang menghancurkan kompas moral dan nilai kemuliaan. Orang Melayu harus ambil semangat Mat Kilau agar mereka bebas dari cengkaman para pendusta bangsa. Kita harus kembalikan heroism sebenar untuk orang Melayu dengan bangkitnya pahlawan sebenar kepimpinan Melayu yang anti rasuah, anti pengkhianatan dan mengembalikan erti MARUAH sebenarnya. Bebaskan diri dari minda terkepung dikongkong sikap prejudis kepada semua orang termasuk dalam kalangan anak bangsanya sendiri. Yang mengepung minda Melayu ialah para elitis politik Melayu yang berterusan menunggang kaum dan agama untuk mencapai kerakusan haloba dunia mereka.

Kita bole bangkit dengan bersama politik nilai dan ide. Orang Melayu ada alternatif untuk berhijrah kepada kepimpinan Melayu yang lebih bermoral, memartabatkan erti kemuliaan diri dan menjaminkan kesejahteraan untuk semua rakyat dalam negara ini. Tolak heroism songsang, tolak Melayu yang menunggang kaum dan bangsa jadilah seperti Mat Kilau bangkitnya seorang pahlawan yang Amanah dan Jujur kepada umatnya.

Baca juga: Tempoh 11 hari tak dipatuhi, himpunan besar-besaran bantah barang naik digerakkan petang ini

Baca juga: Trend kahwin pasangan muda, wanita pilih lelaki dua dekad muda untuk dijadikan suami