Malaysia Dateline

Mat Sabu setuju PRU15 di musim banjir, kerajaan boleh jimatkan belanja?

Kerajaan Malaysia boleh menjimatkan belanja yang banyak jika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan pada musim banjir.

“Pilihan raya mungkin diadakan di musim banjir.

“Saya setuju,” kata Presiden AMANAH, Haji Mohamad Sabu ketika memberikan ceramah di Melaka malam tadi.

“Sebab tong undi boleh dihanyutkan melalui sungai sampai ke tempat pengiraan undi. Pengundi tak payah naik kereta, berenang ke tempat mengundi. Jimat belanja.

“Wanita susah sangat, boleh pakai bikini untuk pergi mengundi.

“Dalam keadaan begitu, kita boleh mandi manda sambil mengundi,” kata Mohamad penuh sinis diiringi gelak ketawa para hadirin dalam Himpunan Harapan Melaka Bangkit di Bukit Baru, Melaka malam tadi.

Mohamad yang juga Ahli Parlimen Kota Raja berkata, apa yang hendak dibuat oleh Umno sekarang mencatat sejarah dalam dunia ini.

“Inilah satu-satunya dalam dunia, kerajaan hendak buat pilihan raya dalam musim banjir, kerajaan gila,” tempelak beliau di pentas ceramah itu dengan penuh perasaan.

Bagi Mohamad, langkah Umno yang sedang nazak sekarang mahu mengadakan PRU15 tidak lain dan tidak bukan untuk menyelamatkan pemimpin mereka.

“Biar rakyat mampus, asalkan dia hidup,” kata bekas Menteri Pertahanan itu yang kesal dengan keputusan Umno.

Menurut Mohamad, Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah didapati ada kes prima facie oleh mahkamah dalam isu Yayasan Akal Budi.

“Zahid ini sudah diperintah membela diri dalam kes Yayasan Akal Budi. Ertinya bila sudah dipanggil bela diri, sebelah kaki sudah masuk penjara.

“Bila kes itu dibicarakan, maka dia bimbang kalau didapati bersalah, apa dia nak buat.

“Oleh itu, mereka nak buat pilihan raya, mereka harap mereka menang. Lepas menang, dia boleh tukar peguam negara, dia boleh tukar pendakwaraya, maka kes itu akan hanyut di tengah jalan.

“Nak selamatkan seorang individu, rakyat biar mampus,” tegas Mohamad lagi.

Baca juga Undang-undang larangan lompat parti berkuat kuasa esok

Baca juga Tak sanggup berkongsi dosa, tukang jahit tolak permintaan alter seluar jadi ketat