Mati terhidu gas karbon monoksida, nyawa pasangan kekasih remaja melayang khabarnya cinta tidak direstui

Oleh ARIF ATAN

Polis Melaka sedang melakukan siasatan secara menyeluruh termasuk kemungkinan spekulasi cinta tidak direstui keluarga mangsa berhubung penemuan mayat sepasang kekasih remaja dalam kereta Perodua Kancil.

Mayat lelaki dan perempuan masing-masing berusia 20 dan 16 tahun itu ditemui orang awam di Kompleks Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Ayer Limau, Lubok China pagi tadi.

Pasangan terbabit ditemukan lengkap berpakaian dalam kereta milik bapa si lelaki yang diselubung kanvas di kawasan kompleks itu.

Timbalan Ketua Polis Melaka, Datuk Razali Abu Samah berkata, hasil pemeriksaan menjumpai lelaki di tempat duduk pemandu dan perempuan di bahagian penumpang hadapan dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum disahkan mati oleh pegawai perubatan.

“Kedua-dua mangsa dipercayai pasangan kekasih dan perempuan berusia 16 tahun itu dihantar oleh rakannya ke JAPERUN itu untuk bertemu dengan lelaki terbabit pada jam 4 petang semalam.

“Siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah dan kita percaya pasangan itu meninggal dunia akibat terhidu gas karbon monoksida,” lapor BH.

Jelasnya, pasangan terbabit berasal dari Kuala Sungai Baru dan Lubuk China dengan lelaki tidak bekerja manakala perempuan adalah pelajar Tingkatan Empat.

Menurutnya polis sedang mengumpul maklumat lanjut daripada kedua ibu bapa mangsa bagi mengetahui status hubungan mereka.

“Kes setakat ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) dan mayat dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat,” tambah Razali lagi.

Baca juga Gara-gara tagih cinta dengan mat saleh di ‘online dating’, nenek berputih mata lesap RM5.29 juta

Baca juga Kunci diri dalam bilik sebelum lahirkan anak, remaja dan anak ditemui sudah tidak bernyawa