Malaysia Dateline

MCMC, Polis panggil pengurusan TikTok ekoran tersebar video rusuhan 13 Mei

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Polis telah memanggil pengurusan TikTok ekoran laporan sebuah media mengenai amaran rusuhan 13 Mei 1969 yang tersebar di TikTok dan merupakan kandungan berbayar.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan MCMC lewat petang ini, video seumpama itu adalah satu kesalahan dan boleh dikenakan hukuman termasuk penjara.

“Penyebaran kandungan berbaur provokasi itu dengan niat untuk mencetuskan ketidakharmonian, kebencian, prejudis dan perasaan orang lain, adalah merupakan satu kesalahan di bawah Kanun Keseksaan (Akta 574), yang boleh dikenakan hukuman denda atau penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

“Sebarang penyebaran kandungan video sedemikian merupakan satu perbuatan tidak bertanggungjawab yang dikhuatiri boleh menyebabkan ketidakharmonian, perpecahan, perasaan kebencian mahupun prejudis dalam hal-ehwal berkaitan dengan agama dan kaum,” kata kenyataan itu.

Dalam pada itu, pihak MCMC dan PDRM juga akan mempertingkat usaha mereka dalam mengekang penyebaran video-video sedemikian yang boleh menganggu-gugat ketenteraman awam.

Dalam pada masa yang sama, bagi memastikan kandungan-kandungan ini tidak disebarluaskan, MCMC mencadangkan tiga langkah termasuk melaporkan segera kepada polis jika bertemu dengan kandungan berbaur hasutan, provokasi ataupun menghina agama, Institusi Raja dan perkauman.

Orang ramai juga boleh laporkan segera kepada MCMC melalui:

• Portal Aduan MCMC di pautan https://aduan.skmm.gov.my/;
• Talian aduan: 1800-188-030;
• WhatsApp di 016 2206 262;
• E-mel di [email protected]

BACA JUGA Kontroversi “kerajaan zina”: PN terbukti amal budaya politik fitnah

JUGA Nazar nak kahwin tahun ini juga jika Anwar jadi PM10, wanita ini jadi sorotan

DAN JUGA ‘Ohh rupanya dekat Sea of Galilee pada 2019, kecohlah mamat ni buat fitnah’