Malaysia Dateline

Melayu sangat obses dengan Arab-Balik belajar dari Tanah Arab pun dipanggil ustaz padahal jurusan perubatan

Ramai dalam kalangan ibu bapa Melayu Islam bercita-cita besar mahu anak mereka mendapat pendidikan di Tanah Arab seperti di Kaherah dan juga Jordan dengan harapan menjadi ustaz.

Ini kerana sejak dahulu lagi orang Melayu sangat obses dengan Arab, mungkin sentimen ini kerana agama Islam.

Jadi orang Melayu sangat memandang tinggi serta menghormati orang Arab. Asal Arab saja seringkali dikaitkan dengan Islam. Malah banyak perkara yang keAraban dianggap Islami.

Sehinggakan suatu ketika dulu produk itu dianggap Islami (dibaca halal) jika simbolnya unta dan pokok kurma. Sampai macam tu sekali.

Melayu sangat obses dengan Arab-Balik belajar dari Tanah Arab pun dipanggil ustaz padahal jurusan perubatan

Demikian tanggapan orang Melayu betapa akrabnya pertalian Arab dengan Islam.

Seorang Professor dari Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysa (UPM) Dr Abdul Muati Ahmad berkongsi satu kisah lucu bagaimana obsesnya orang Melayu dengan Arab sehingga dianggap dan dipanggil ustaz hanya ke sana untuk belajar bahasa Arab sahaja.

“Ada seorang saudara saya dari Kelantan pergi belajar ilmu bahasa Arab di Mesir.

“Tapi selepas setahun setengah beliau gagal. Nak balik malu. Jadi beliau bekerja house keeping di hotel di Kaherah. Selepas lima tahun baru balik.

“Sampai di kampung, orang panggil dia ustaz. Sekali orang jemput kenduri arwah dan suruh dia pimpin tahlil dan baca doa sebab nak ambil berkat baru balik dari Tanah Arab.

“Menggigil dia. Sambil angkat tangan dia sebut nama-nama hotel, “Fondoq As-Sofa wal Baron, Al-Mariyot wal-Nabila, Al-Kasiino wal Novootel…”.

“Orang kampung pakat sebut Aamiin bukan main kuat sebab doa kali ni belum pernah dengar.

‘Last sekali dia sebut “ana haus keefing, ana haus keefing, ana haus keefing”, ulang tiga kali. Bertambah kuat orang kampung cakap ‘Aamiiin’…,” tulis beliau di Facebook Abdul Muati Ahmad.

Bahkan katanya, orang Melayu tidak percaya Arab tidak Islam sedangkan hakikatnya ramai juga Arab yang bukan Islam.

Begitu juga orang Melayu menganggap semua yang menuntut di Tanah Arab itu adalah ustaz. Hakikatnya di sana ada banyak jurusan lain juga.

Pelajar Malaysia ramai juga yang mengikuti ilmu perubatan di Tanah Arab.

“Tak kurang juga yang belajar linguistik Arab, bukan ilmu agama. Tapi apabila balik ke sini mereka dianggap ustaz, alim hukum hakam,” ujarnya.

Bahkan di Mesir saja ada ramai Arab yang Kristian. Begitu juga di Jordan dan Syria.

“Ada kawan saya kahwin dengan perempuan Arab Syria. Perempuan tu masuk Islam sejurus sebelum kahwin dengan kawan saya. Saudara maranya di Malaysia tak percaya macam mana perempuan Arab baru masuk Islam,” tambahnya lagi.

Baca juga: Bebas dari dikenakan tindakan tatatertib, Cikgu Fadli akan teruskan perjuangan ubah silibus tidak sesuai