Menang 1-0 ke atas Thailand masih tidak cukup, kata Kim Pan Gon

Oleh BERNAMA

Ketua jurulatih skuad kebangsaan Kim Pan Gon mengakui kemenangan tipis 1-0 ke atas Thailand pada aksi separuh akhir pertama malam ini, tidak mencukupi untuk mengukuhkan peluang ke final Piala Konfederasi Bolasepak ASEAN (AFF) 2022.

Menyedari aksi sengit menanti skuad Harimau Malaya di separuh akhir kedua di Stadium Thammasat pada Selasa ini, Pan Gon menaruh yakin anak buahnya kekal tenang dan terus berjuang bagi memastikan mereka tidak tersingkir.

“Kemenangan 1-0 jelas tidak mencukupi apatah lagi beraksi di laman sendiri tapi saya tetap gembira dengan keputusan malam ini.

“Ia satu perlawanan sukar kerana Thailand adalah pasukan kuat. Kita cuba memberi tekanan kepada mereka tapi ia tidak mudah,” katanya pada sidang media selepas perlawanan di sini malam ini.

Bagaimanapun, Pan Gon berasa lega kerana pasukan kebangsaan tidak dibolosi pada aksi malam ini selepas pemain sayap lincah negara Mohamad Faisal Abdul Halim membuka jaringan pada minit ke-11.

Menang 1-0 ke atas Thailand masih tidak cukup, kata Kim Pan Gon
#image_title

“Kita mempunyai banyak peluang menjaringkan gol, keputusan sepatutnya berpihak kepada kita 3-0 namun pasukan lawan juga mempunyai banyak peluang mendapatkan gol. Cuma pemain adalah manusia dan melakukan kesalahan. Saya harap para pemain dapat pulih dengan cepat,” katanya.

Mengenai gol hasil tandukan Dominic Tan pada minit ke-55 dinafikan oleh pengadil perlawanan dari Korea Selatan, Pan Gon berkata: “Saya tidak nampak (insiden) itu dengan jelas, saya tidak boleh kata apa-apa.”

Sementara itu, ketua jurulatih Thailand Alexandre Polking kecewa dengan kekalahan dialami anak buahnya biarpun mereka mendominasi perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil.

“Sebagai jurulatih, saya tidak suka kekalahan sebegini tapi ini adalah bola sepak dan kalah adalah sebahagian daripada permainan. Saya tidak pernah menyangka Thailand boleh mendominasi permainan kerana Malaysia berbeza sama sekali di peringkat kumpulan,” katanya.

Pada masa sama, beliau yakin mampu mengubah keputusan apabila menerima kunjungan Malaysia di laman sendiri pada Selasa.

“Ia keputusan baik buat Malaysia dengan penyokong yang hebat tapi kami juga mempunyai peminat hebat dan saya pasti mereka akan mendorong pemain untuk menjaringkan gol,” katanya.

— BERNAMA

Baca Juga : ‘Beliau bukan gemuk dan botak yang boleh dihina’, pemain kelab bola tampar pertahan jurulatih