Malaysia Dateline

Menangis menanti sepanjang malam dalam kesejukan – Angka korban cecah 41 orang

Anggota keluarga dan sanak saudara terus menanti sepanjang malam dalam kesejukan di luar lombong arang batu yang meletup di wilayah Bartin, di pesisir pantai Laut Hitam, utara Turkiye.

Setakat semalam, angka korban dalam tragedi di lombong milik kerajaan, TTK Amasra Muessese Mudurlugu itu meningkat kepada 41 orang selepas 110 pekerja terperangkap.

Menteri Dalam Negeri Suleyman Soylu dilapor berkata, 58 orang berjaya menyelamatkan diri, 11 cedera dan dimasukkan ke hospital manakala nasib seorang lagi pelombong belum dapat dipastikan.

Letupan kira-kira 300 meter di bawah tanah berlaku pada 6.15 petang waktu tempatan (1515 GMT), kelmarin di Amasra Hard Coal Enterprise.

Lapor Agensi, sepasukan lebih 70 penyelamat berjaya turun sehingga ke kedalaman 250 meter seperti dimaklumkan gabenor tempatan.

Sementara itu, menurut perkhidmatan pengurusan bencana Turkiye, AFAD, percikan yang mencetus letupan itu dipercayai berpunca daripada transformer yang mengalami kerosakan.

Walau bagaimanapun, laporan itu kemudian ditarik dan memaklumkan gas metana menyala tanpa sebab yang diketahui.

Pada 2014, seramai 301 orang terbunuh di Turkiye dalam nahas kebakaran lombong arang batu terburuk, di bandar Soma di barat wilayah Manisa.

Baca juga Ekonomi dunia 2023 terus dijangka menguncup – Pakar ekonomi tanya ‘are we ready?”

Baca juga Masyarakat Islam Uighur dizalimi – Malaysia perlu hantar mesej tolak jenayah kemanusiaan di Xinjiang