Malaysia Dateline

Mengapa pasukan Jihad Tangani Inflasi tidak berunding dengan penternak ayam lebih awal? – CAP

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mempersoal mengapa Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi tidak berunding dengan penternak ayam lebih awal dan mengambil tindakan bagi menyelesaikan segera isu kekurangan bekalan telur ayam di pasaran.

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader, berkata pasukan tersebut mengenal pasti kos makanan ayam yang tinggi sebagai penyebab kekurangan bekalan telur ayam.

“Sekiranya penternak beri maklum balas, adakah pasukan khas ini berbincang dengan pengeluar makanan ternakan tempatan cara bagaimana menghasilkan makanan lebih murah guna sisa isirong sawit?

“Ini kerana kos makanan ternakan isu utama yang jadi pertikaian,” katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, CAP menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyelesaikan segera isu terbabit.

Menurutnya, kesukaran mendapatkan bekalan makanan itu sejak dua minggu lalu menimbulkan kebimbangan mengenai bekalan sumber protein termurah itu di pasaran pada masa hadapan.

“Peniaga mendakwa sukar mendapat bekalan kerana kuantiti yang diperoleh daripada pemborong lebih rendah berbanding peniaga di pasar,” katanya

Jelasnya, CAP bimbang apabila media tempatan melaporkan bahawa pengeluar telur memilih menyembelih ayam telur sebelum matang hingga menyebabkan kekurangan telur.

Berhubung penggunaan isirong sawit sebagai bahan makanan haiwan, katanya, terdapat banyak kajian berkaitan sejak 1980-an.

Bahkan, tambahnya, Selangor turut mengumumkan akan menerima pakai kaedah menyediakan pengeluaran makanan haiwan alternatif berdasarkan penyelidikan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dua tahun lalu.

“Kaedah itu sudah dilaksanakan di Kedah dan didapati dapat mengurangkan kos makanan ternakan dengan ketara,” kata Mohideen lagi.

Baca juga Kehadiran di Parlimen: Anthony Loke, Syed Saddiq dan Mat Sabu cemerlang tapi Hadi dan Muhyiddin paling corot

Baca juga Isu suami dayus, ustaz perjelas waktu bersalin dikira kategori darurat