Malaysia Dateline

Mengapa tiada sepatah pun bahasa kebangsaan di sebuah pusat beli-belah di Seberang Jaya?

Memang tidak patut bahasa kebangsaan dibakulsampahkan di sebuah pusat beli-belah di Seberang Jaya.

Kompleks beli-belah, Sunway Carnival Mall yang beroperasi di Bandar Sunway, Seberang Jaya itu terbukti bukan sahaja tidak mempedulikan bahasa kebangsaan.

Bahkan, seolah-olah sengaja meminggirkan syarat wajib iklan yang harus ada dalam setiap iklan di kawasan Majlis Perbandaran.

Sebaik sahaja mendapat aduan, Malaysia Dateline terus membuat tinjauan ke lokasi tersebut.

Jelas ketara tiada sama sekali sepatah pun perkataan dalam bahasa Melayu yang terpampang sama ada di pintu masuk utama mahu pun di kawasan sekitar pusat beli-belah itu.

“Sepatutnya bahagian pelesenan dan iklan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) membuat pemeriksaan dan pemantauan sebaik sahaja kebenaran beroperasi diberikan kepada pusat beli-belah tersebut.

“Kami dari Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) amat kesal apabila bahasa kebangsaan dipinggirkan.

“Sebaliknya bahasa Inggeris pula mereka daulatkan, sedangkan mereka beroperasi dalam kawasan Parlimen Permatang Pauh dan Dun Seberang Jaya,” kata Pengerusi DMDI, Abdullah Mohd Nor ketika ditemui.

Abdullah Mohd Nor

Sehubungan itu, beliau berharap agar pihak MBSP, Adun Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin dan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar segera turun padang melihat kecacatan yang seolah-olah sengaja dilakukan di pusat beli-belah yang tersergam di Sunway Carnival Mall.

Tegasnya, tidak masuk akal apabila bahasa Inggeris dengan megah tertera Main Entrance, West Entrance, South Entrance, Zone B Motorcycle, Refuse Chamber, Cashless Parking dan banyak lagi perkataan Inggeris yang diutamakan di kawasan luar bangunan itu.

Malah, kata Abdullah lagi, apa salahnya jika diletakkan dwibahasa iaitu bahasa Melayu bersama bahasa Inggeris.

Namun sepatah perkataan Bahasa Malaysia pun tidak diukir sedangkan negara sedang berada dalam Bulan Kemerdekaan menjelang 31 Ogos.

Sejajar dengan itu katanya, MBSP jangan alpa dan lupa bahawa bahasa Melayu wajib diutamakan dalam setiap iklan yang dipaparkan, apalagi sebuah gedung beli-belah yang besar tersergam dan baru beroperasi.

Saran beliau, MBSP, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mahupun wakil rakyat kawasan terlibat harus segera turun padang, memantau, dan menegur kecacatan yang jelas, ketara terpampang di hadapan mata.

Baca juga Jangan negara sudah bankrap baru Melayu Islam tersedar ‘harapkan pagar, pagar makan padi’

Baca juga Teka-teki KBAT ni, boleh buat modal pada anak